Gelagat ceria penyokong UMNO dan PAS pada Wacana Intelektual Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Piagam UMNO dan Pas yang bakal dimeterai esok tidak dibantah oleh akar umbi kedua-dua parti terlibat malah rata-ratanya berpendirian ia kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan mempertahankan Islam sehingga tercetusnya pelbagai isu melibatkan agama dan perkauman.

Justeru demi mengelakkan kemudaratan yang lebih buruk berlaku, kedua-dua parti pembangkang yang ditunjangi orang Melayu perlu bersatu untuk menjadi lebih kuat.

Dengan menjadi lebih kuat sebagai satu pasukan melalui kerjasama rasmi yang diadakan, maka menurut ahli Pas dari Johor, Mohd. Shah Yaakob, 58, parti pembangkang dapat berhadapan dengan PH.

Penyokong, Mohd Shah Yaakob, 58, bercakap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2019

“Kerajaan yang ada sekarang ini banyak membawa mudarat kepada orang Islam, macam-macam tindakan, dari segi kebajikan,habis semua dilanggar, apa lagi perlembagaan,” katanya.

Menurutnya lagi, barisan kepimpinan PH mahupun yang menganggotai kabinet khususnya yang beragama Islam dilihat gagal mempertahankan agama sendiri yang semakin  diperlekehkan.

“Yang ada dalam PH, anggota Kabinet atau parti Islam Melayu tiada suara pertahankan Islam terhadap apa yang mengguris hati orang Islam. Kerajaan sekarang lagi teruk,” tambahnya.

Meskipun ramai yang mengatakan akar umbi Pas sebenarnya masih tidak dapat memaafkan UMNO atas peristiwa dan sejarah lalu, namun kata Nurul Ain Ali Sudirman, 24, beliau berpendapat ia hanya dakwaan yang sengaja dicetuskan untuk menghalang kerjasama terjalin.

Penyokong, Nurul Ain Ali Sudirman, 24, bercakap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2019

Sebaliknya bukan sahaja ahli malah penyokong Pas sepertinya, menyedari penyatuan dan kerjasama dengan UMNO bakal memberikan manfaat yang tidak dapat dinafikan.

Semenjak di bawah pemerintahan PH perubahan yang dilihatnya adalah perpaduan golongan Islam yang semakin lemah.

“Pandangan saya, secara umum orang faham UMNO dikelilingi Melayu, di Malysia ini majoritinya Melayu Islam, Pas sendiri bawa agama Islam.

“Jadi bila bergabung mudah untuk menegakkan dan mempertahankan Islam di dalam negara, jadi ia patut disokong sebab membawa kebaikan.

“Dalam negara kita sekarang orang Islam kalau nak dikatakan bersatu tidak,” katanya lagi.

Bermatlamatkan mahu menjadi parti pembangkang kuat berdepan lawan, maka Mohd. Radhi Mohd Said, 21,  dari Mersing  bersetuju kerjasama itu dapat dijalinkan.

Penyokong, Mohd Radhi Mohd Said, 21, bercakap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2019

Ikatan yang kuat jelas Mohd Radhi memudahkan laluan parti pembangkang berhadapan Pakatan Harapan yang di dalamnya terdiri dariada DAP yang disifatkannya parti yang enggan melihat Melayu Islam berjaya.

“Kenapa saya sokong kedua-dua parti ini bekerjasama, sebab ia macam zaman Nabi kita perlu bersatu-padu untuk menghadapi lawan kita (parti lawan).

“Kerajaan sekarang tidak mempertahankan Islam macam sebelum ini. Banyak isu buktinya muncul dengan DAP suka timbulkan perkauman,” ujarnya.-MalaysiaGazette