Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota yang dicemari jerebu berikutan insiden kebakaran hutan di Kalimantan, ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak lagi mempertimbangkan permohonan baharu Lesen Pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014), berkuat kuasa serta-merta.

Presidennya, Meena Raman berkata, keputusan itu selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan penuh peraturan berkenaan bermula 1 Januari 2027, sekali gus memelihara kualiti udara negara.

Menurutnya, semua pihak perlu mematuhi undang-undang berkaitan kualiti udara bagi memastikan hak rakyat mendapatkan udara bersih dan sihat terus terpelihara.

“Hak asasi untuk udara bersih dan sihat bagi setiap rakyat mesti dipelihara.

“Masalah jerebu dan pencemaran udara memberi kesan kepada kehidupan rakyat, termasuk penutupan sekolah serta peningkatan kes asma dan penyakit respiratori.

“Semua pihak perlu mengambil langkah menjaga alam sekitar, termasuk memastikan kualiti udara sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan kerajaan tidak lagi mempertimbangkan permohonan baharu Lesen Pelanggaran di bawah PUB 2014 berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan penguatkuasaan penuh peraturan berkenaan dapat dilaksanakan mulai 1 Januari 2027, selain meneruskan komitmen kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam melindungi kualiti udara negara.

PUB 2014 merupakan peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang mula dikuatkuasakan pada 5 Jun 2014 bagi menggantikan PUB 1978.

Peraturan itu menetapkan industri yang tertakluk supaya mengawal pelepasan bahan pencemar mengikut nilai had dan standard teknikal yang ditetapkan.

Arthur turut memaklumkan kerajaan sebelum ini menyediakan tempoh peralihan selama lima tahun sehingga 5 Jun 2019, sebelum beberapa pelanjutan tambahan bersyarat diberikan susulan permohonan daripada sektor industri yang masih belum mematuhi peraturan berkenaan.

Dalam pada itu, Meena menegaskan usaha memastikan pematuhan terhadap peraturan kualiti udara bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya perlu dipikul semua pihak.

“Ini adalah tanggungjawab semua dan JAS perlu bertindak tegas serta tidak membenarkan sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here