MELAKA – Hasrat seorang lelaki bergelar Datuk untuk menikmati makan malam tidak kesampaian selepas Porsche Cayenne dipandunya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Ops Luxury, di Jalan Gapam, di sini, petang tadi.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah menggunakan nombor pendaftaran satu angka tertera jata Datuk itu ditahan penguat kuasa JPJ pada jam 6.36 petang tadi.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, hasil pemeriksaan mendapati LKM SUV dipandu lelaki berusia 63 tahun itu sudah tamat tempoh sejak 28 Jun lalu, selain tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Ketika ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi penguatkuasaan Ops Luxury, lelaki bergelar datuk itu memaklumkan sedang dalam perjalanan untuk menghadiri makan malam.
“SUV mewah itu kemudian dikenakan tindakan sitaan dan ke Pejabat JPJ Melaka untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambahnya, pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan kewajipan memastikan LKM dan perlindungan insurans sentiasa sah sebelum kenderaan digunakan di jalan raya.
“JPJ Melaka turut menasihatkan semua pemilik dan pemandu kenderaan supaya membuat semakan status LKM dan perlindungan insurans sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya,” katanya.
Tambahnya, semakan dan urusan berkaitan LKM serta lesen memandu juga boleh dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ. – MalaysiaGazette
















