KOTA BHARU – Sebanyak 36 peratus daripada 96 kematian akibat lemas yang direkodkan di Kelantan sejak 2023 melibatkan kanak-kanak berumur bawah 14 tahun, sekali gus mendorong usaha pencegahan dan kesedaran keselamatan air dalam kalangan golongan itu diperkukuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 35 mangsa adalah kanak-kanak, dengan jumlah tertinggi direkodkan pada 2024, iaitu 14 kematian.
Beliau berkata statistik jabatan menunjukkan 28 kematian akibat lemas direkodkan pada 2023, meningkat kepada 31 kes pada 2024 sebelum menurun kepada 27 kes pada 2025 dan 10 kes setakat tahun ini.
Bagi mangsa kanak-kanak bawah 14 tahun, sebanyak tujuh kematian direkodkan pada 2023, diikuti 14 kes pada 2024, 11 kes pada 2025 dan tiga kes setakat tahun ini.
Sehubungan dengan itu, Farhan Sufyan berkata JBPM Kelantan mempergiat usaha pencegahan menerusi pendidikan dan kesedaran keselamatan air, termasuk pelaksanaan Program Jom Renang secara percuma yang diadakan dalam lima siri dengan penyertaan 300 kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di beberapa lokasi di negeri berkenaan.
“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai kemahiran asas berenang, keselamatan air serta teknik menyelamatkan diri sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian lemas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak ketika berada berhampiran sungai, kolam, tasik dan kawasan berair, selain menegaskan kerjasama sekolah, komuniti serta masyarakat penting dalam membudayakan amalan keselamatan air bagi mengelakkan tragedi lemas. – BERNAMA
















