Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika hadir pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan tidak akan lagi membenarkan penjualan Lesen Import (AP), lesen dan kontrak kepada pihak ketiga.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu bagi mencapai objektif dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Beliau berkata, selepas ini hanya mereka yang layak dan berkebolehan sahaja akan diberikan lesen, kontrak dan AP daripada kerajaan.

“Kita akan utamakan keputusan daripada peluang. Dahulu kita cipta banyak peluang tetapi beri kepada mereka yang tidak layak.

“Selepas ini, sesiapa yang diberi kontrak, lesen dan AP akan diberi latihan dahulu sehingga layak.

“Dahulu kerajaan beri peluang kepada ramai orang namun mereka jual kontrak dan lesen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan menteri Kabinet.

Mesyuarat khas yang diadakan pada hujung minggu ini berlangsung selama tiga jam.

Kertas cadangan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 telah dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – MalaysiaGazette