KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis politik mempersoal tindakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong menuduh Pas berpolitik menggunakan agama.
Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, adalah sesuatu yang lumrah bagi pemimpin DAP seperti Steven Sim mengkritik Pas apabila mengatakan parti itu menyalahgunakan tempat ibadat seperti surau dan masjid untuk berpolitik khususnya semasa mahu mendirikan negara Islam.
Beliau mendakwa, Chee Keong juga melakukan perkara sama apabila menjadikan gereja sebagai tempat untuk beliau berpolitik.
Menerusi forum bertajuk “Naratif Malaysia Baharu” di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, pada 14 September lepas, Chee Keong sendiri bercakap panjang lebar mengenai indahnya “Kerajaan Tuhan Kristian” serta jenis politik yang dimahukan oleh tuhan, kata Kamarul Zaman.
“Dinyatakan oleh Steven Sim mengenai “The Jesus Manifesto” yang didakwa terkandung di dalam Bible, lengkap dengan huraian panjang lebar mengenai empat cirinya yang didakwa terkandung di dalam salah satu surah di dalamnya di samping dakwaan bahawa apa yang dilakukan oleh beliau di Kementerian Belia dan Sukan adalah memenuhi empat ciri ini.
“Lebih jauh lagi, Steven Sim juga mendakwa bahawa Kerajaan Tuhan Kristian adalah satu misi yang tidak dapat dihalang dengan menyebut dua kali Kerajaan Tuhan adalah misi yang tidak dapat dihalang, dan alasannya adalah ini, Tuhan sendiri akan bertindak atasnya, dan itulah keyakinan kita yang tidak dapat dilepaskan,” katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook.
Kamarul Zaman berkata, Steven Sim juga turut berkata, bahawa “Kerajaan Tuhan tidak dapat dihalang dan inilah jawapan kepada semua ideologi kapitalisme, komunisme, sosialisme, liberalisme, nasionalisme.
Ujarnya, ahli Parlimen Bukit Mertajam itu juga menjelaskan bahawa Tuhan sendiri berkomitmen untuk bertindak dan memastikan kejayaan kerajaannya sendiri.
Justeru, Kamarul Zaman melontar dua persoalan iaitu apakah implikasi kepada seruan bahawa The Kingdom of God adalah satu misi yang tidak dapat dihalang.
Beliau turut bertanya mengada Steven mengkritik negara Islam sedangkan beliau sendiri bercakap mengenai kerajaan Tuhan. – MalaysiaGazette