Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang berjalan sambil berpimpin tangan dengan balu Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun selepas melewatnya di RKAT Kem Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya menyeru orang ramai supaya menghentikan spekulasi liar berhubung kematiannya suaminya.

“Apa yang terjadi ini adalah kemalangan dalam latihan. Itu saya redha dengan pemergian arwah. Saya tak naklah individu-individu luar ini mengaitkan apa-apa pasal arwah. Dalam ketenteraan ini saya faham situasi.

“Saya mohon itulah bila dibangkit-bangkitkan yang bukan-bukan kesian arwah dalam kubur. Orang dah tiada, yang saya boleh sampaikan saya redha dengan pemergian arwah,” kata Nour Shafinar Harun kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertanya khabar kepada balu Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun (kanan) sewaktu melawatnya di RKAT Kem Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2019.

Menurut Nour Shafinar lagi, dia redha dengan nasibnya itu dan menganggap ia sebagai ketentuan ilahi.

Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen berhubung kematian Allahyarham yang cuba dikaitkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menggunakan peluru hidup semasa mengadakan latihan.

Perkara itu menjadi perbualan hangat sehingga ada yang cuba menyalahkan ATM dalam insiden yang meragut nyawa Allahyarham

Terdahulu, Nour Shafinar menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Rumah Kelamin Angakatan Tentera di Kem Wardieburn di sini.

Nour Shafinar turut menzahirkan kesyukuran dan rasa terharu di atas kesudian Wan Azizah meluangkan masa melawat dirinya bersama anak-anak serta mensihati agar terus tabah mengharungi kehidupan mendatang selain turut lega apabila kerajaan menghargai jasa arwah meskipun telah meninggal dunia.

Dalam kejadian pagi 4 September lepas, Mohd. Zahir yang juga merupakan anak pengarah dan pelawak terkenal, AR Badul tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter menggunakan senjata api semasa demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah. – MalaysiaGazette