Khalid Abdul Samad
Khalid Samad
KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad tidak menolak kemungkinan untuk kerajaan mempertimbangkan tawaran harga yang lebih tinggi bagi pembelian tanah pemilik dan pewaris Kampung Baru untuk pembangunan semula.

Beliau berkata, bagaimanapun, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan hasil perbincangan dijangka diketahui dalam masa sebulan.

“Secara umumnya semua (pemilik dan pewaris) bersetuju (dengan pembangunan semula)… yang menjadi penghalang adalah harga penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) adalah sebanyak ini (RM850 satu kaki persegi), maka banyak mana lagi kita boleh tawar lebih daripada penilaian itu, itu kerajaan punya pendekatan.

“Pendekatan oleh kerajaan sering tertakluk kepada penilaian yang dibuat oleh JPPH… dia boleh bagi lebih boleh bagi kurang, tapi kita perlu tunggu dan lihat,” katanya pada sidang media selepas sesi townhall bersama lebih 3,000 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini, hari ini.

Kerajaan hari ini menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris kawasan itu.

Khalid berkata tawaran itu adalah kadar tertinggi dinilai oleh JPPH dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Terdahulu ketika sesi townhall berlangsung ramai tampil mengutarakan pelbagai isu berkenaan pembangunan kawasan itu antaranya kadar tawaran rendah, pemuliharaan warisan kampung Melayu dan pengecualian cukai.

Sebagai maklum balas kepada sesi itu, Khalid berkata sambutan hadirin amat memberangsangkan dan berdasarkan perbincangan didapati isu harga tawaran menjadi persoalan utama.

Sementara itu, Noreen Abdul Razak, 52, generasi kedua kampung berusia 119 tahun itu, berpendapat secara dasarnya, majoriti penduduk menyokong pembangunan semula kawasan itu namun harga pulangan yang ditawarkan mungkin boleh dinaikkan.

“Secara keseluruhan jumlah tawaran adalah besar jika dikira dengan jumlah kaki persegi tanah, namun isunya ialah bilangan pewaris yang ramai. Ada keluarga yang ada pewaris sampai 100 orang, jika dibahagi jumlah yang diterima amat kecil. Mungkin kerajaan boleh pertimbang mekanisme menaikkan harga tawaran demi kebaikan semua,” katanya.

Shamsiah Sharif, 64, yang telah menetap selama 30 tahun di Kampung Baru, pula berpendapat projek pembangunan semula itu dilihat dapat menaikkan taraf ekonomi orang Melayu khususnya generasi belia yang juga pewaris tanah kawasan itu.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN