ATHENS, Greece – Polis Greece berkata mereka telah menahan seorang suspek yang merampas sebuah pesawat dari Athens pada 1985 yang bertukar menjadi pengalaman buruk untuk beberapa hari, termasuk pembunuhan seorang warga Amerika Syarikat (AS).

Polis berkata, suspek rampasan pesawat berusia 65 tahun itu ditahan Khamis lalu di Pulau Mykonos berikutan waran daripada Jerman.

Jurucakap polis, Leftenan Kolonel Theodoros Chronopoulos memberitahu Associated Press bahawa kes rampasan itu membabitkan pesawat TWA, penerbangan 847.

Penerbangan tersebut dikendalikan oleh para perampas sejurus pesawat berlepas dari Athens pada 14 Jun 1985. Sebelum itu, pesawat tersebut berlepas dari Kaherah dan destinasi terakhirnya ialah San Diego, dengan berhenti di Athens, Rom, Boston dan Los Angeles.

Para perampas menembak dan membunuh penyelam Tentera Laut AS, Robert Stethem, 23, selepas memukulnya sehingga tidak sedarkan diri.

Mereka membebaskan 146 penumpang lain dan anak kapal semasa tempoh rampasan itu termasuk ketika mendarat di Beirut dan Algiers.

Tebusan terakhir dibebaskan selepas 17 hari rampasan dilakukan.

Suspek itu berada dalam tahanan pada Sabtu di Pulau Syros, Greece namun beliau akan dipindahkan ke Penjara Korydallos, Athens yang dikawal ketat untuk prosiding ekstradisi, kata seorang jurucakap polis kepada Associated Press.

Beliau berkata, suspek merupakan warga Lebanon.

Jurucakap itu tidak mahu dikenali kerana siasatan kes masih lagi dilakukan.

Polis enggan mendedahkan nama suspek.

Di Beirut, Menteri Luar berkata, lelaki yang ditahan di Greece merupakan seorang wartawan yang dikenali Mohammed Saleh dan pegawai Kedutaan Lebanon merancang untuk melawat beliau hari ini.

Salah seorang perampas, Mohammed Ali Hammad ditahan di Frankfurt pada 1987 dan didapati bersalah di Jerman kerana merampas pesawat dan membunuh Stethem. Hammadi, yang didakwa anggota Hezbollah, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tetapi diberikan parol pada 2005 dan pulang ke Lebanon.

Jerman mengelak untuk mengekstradisikan suspek itu ke AS selepas Hezbollah menculik dua warga Jerman di Beirut dan mengancam untuk membunuh mereka.

Hammadi, bersama perampas, Hasan Izz-Al-Din dan Ali Atwa, kekal berada dalam senarai pengganas paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutian (FBI). FBI menewarkan wang sehingga AS$5 juta untuk maklumat sehingga tertangkapnya setiap individu itu.

Semalam, agensi berita, dpa, melaporkan pejabat pendakwaraya persekutuan Jerman enggan mengulas berhubung laporan berita mengenai kes tersebut. – Agensi