Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Amiruddin Hamzah diiringi Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan Malaysia, Ahmad Zailan Azizuddin melawat tapak pameran ketika hadir pada Majlis Taklimat Pasaran Harta Tanah H1 2019 dan Pelancaran Sistem Carian Harta Tanah Tidak Terjual (UPESM 2.0) di Dewan Jubli, INSPEN Kajang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 23 SEPTEMBER 2019.

KAJANG – Kerajaan tidak perlu untuk menganjurkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual kerana masalah itu perlu diselesaikan oleh pemaju perumahan itu sendiri.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah berpendapat, cadangan itu tidak perlu kerana ia merupakan masalah yang ditimbulkan oleh pemaju sendiri.

Katanya, pemaju sepatutnya menyediakan keperluan pada masa ini dengan membina rumah kos rendah dan mampu milik kepada rakyat.

“Saya rasa ini haruslah diselesaikan oleh mereka (pemaju) yang membina sendiri tanpa perlu kita adakan kempen khas.

“Kita tak mahu nanti kita seolah-olah memberi isyarat sementara keperluan itu adalah diperingkat perumahan mampu milik tetapi bila keperluan ini tidak didengar oleh mereka yang membekalkan perumahan ini mereka masih lagi nak pergi kepada segmen yang menawarkan margin yang jauh lebih besar padahal bukan itu yang rakyat hendak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Sistem Carian Harta Tanah Tidak terjual Malaysia (UPESM) 2.0 di sini hari ini.

Amiruddin menjawab soalan wartawan yang mahukan pendapatnya mengenai cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin apabila menyatakan bahawa cadangan tersebut merupakan langkah kerajaan dapat ‘mencairkan’ keadaan ekonomi negara dan membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

Menurut Zuraida, kerajaan tidak sewenang-wenangnya menjual rumah-rumah mewah yang tidak terjual secara lelongan seperti pisang goreng panas sebaliknya ada prosedur yang perlu diikuti.

Mengulas lanjut Amiruddin berkata, pemaju yang berani membina perumahan mewah sudah membuat perkiraan terhadap risiko-risiko yang mungkin dihadapi oleh mereka pada masa akan datang.

Katanya, keutamaan yang diberikan oleh kerajaan adalah mahu menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat dalam usaha memastikan setiap keluarga memiliki rumah sendiri.

Ujarnya, ia merupakan perkara asas yang perlu didahulukan berbanding pembinaan rumah mewah yang hanya mensasarkan golongan tertentu. – MalaysiaGazette