Temuduga secara bersemuka bukan lagi pilihan bagi membendung penularan pandemik Covid-19. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa Kerajaan untuk memasukkan perlindungan terhadap diskriminasi pencari kerja ke dalam Akta Kerja 1955 apabila akta itu dipinda.

Cadangan terbaru yang dikemukakan secara umum oleh Kementerian Sumber Manusia telah memasukkan pindaan bagi melindungi pencari kerja dan pekerja daripada didiskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa, ketakupayaan, status perkahwinan, kehamilan dan bahasa.

Bagaimanapun menurut badan itu, baru-baru ini terdapat pendedahan bahawa frasa ‘pencari kerja’ serta Bahagian IA deraf pindaan Rang Undang-undang (RUU) baharu yang mempunyai perlindungan terhadap pencari kerja akan dimansuhkan.

“Cadangan pemansuhan ini mengecewakan kami kerana tindakan ini akan membenarkan diskriminasi untuk terus berlaku.

“Kami percaya bahawa undang-undang sedia ada boleh dan seharusnya dipinda bagi memberikan perlindungan terhadap pencari kerja selaras dengan larangan diskriminasi yang termaktub di dalam Perkara 8(2) Perlembagaaan Persekutuan.

“Tambahan pula, Konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang telah diratifikasi oleh Malaysia telah menerangkan dengan jelas berkenaan perlindungan terhadap diskriminasi untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang sama rata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah SUHAKAM, ia menyeru kerajaan supaya melindungi pencari kerja dan juga pekerja daripada diskriminasi di tempat kerja.-MalaysiaGazette