Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9 perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyambung penyataan saksi yang mempunyai 270 muka surat di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebentar lagi.

Saksinya, kekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi semalam mendedahkan namanya telah menjadi pilihan Low Taek Jho atau Jho Low dilantik sebagai salah seorang pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).

Kata Shahrol, namanya kemudian dicadangkan kepada Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong Ke-13 (ketika itu), Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum baginda memperkenankan lantikan tersebut.

Saksi itu berkata, sejak dilantik sebagai Pengarah dan CEO di TIA, beliau dimaklumkan oleh Jho Low dan Pengarah Eksekutif, Casey Tang bahawa di awal penubuhan TIA lagi terdapat cadangan untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan Jaminan Kerajaan bagi menambahkan dana dalam TIA.

Katanya, kerajaan Terengganu pula akan menyuntik dana sebanyak RM6 bilion melalui ‘securitizition’ (pensekuritian) wang ehsan atau royalti minyak.

Shahrol juga mendedahkan Jho Low yang kini dalam buruan telah dilantik sebagai penasihat TIA pada 8 April 2009.

Bagaimanapun kata Shahrol, Jho Low tidak pernah memberitahu pelantikannya sebagai penasihat walaupun peranan ahli perniagaan itu bermula sejak awal penubuhan TIA (27 Februari 2009).

Jelas Shahrol dalam penyataan saksi, Jho Low menjalankan tanggung jawab beliau sebagai penasihat TIA sejak di awal penubuhannya lagi tetapi pelantikan rasmi hanya bermula April 2009, selepas TIA mengeluarkan resolusi formal.

“Jho Low yang memberitahu saya bahawa perlunya ada hitam putih daripada TIA untuk memastikan peranan beliau adalah telus.

“Namun, sebelum lantikan rasmi dibuat, semua tindakan dan peranan beliau adalah konsisten sebagai penasihat TIA bagi kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

“Ini bermakna surat lantikan rasmi itu hanya formaliti sahaja kerana peranannya sejak dari awal lagi sebelum saya menyertai TIA,” katanya sebelum selang seli di soal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Shahrol berkata beliau melihat Jho Low sejak dari awal lagi bertindak sebagai penasihat dalam menjaga kepentingan negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan, terutama dari sudut pelaburan dan dana.

Dalam pada itu, Shahrol juga mendedahkan bagaimana peranan Jho Low pernah menimbulkan keraguan dalam kalangan perunding ketika proses perbincangan bagi pengeluaran Nota Terma Jangka Pendek Islam (IMTN) (sukuk) diadakan.

Jho Low dikatakan sentiasa berperanan aktif dalam perbincangan pengeluaran IMTN ketika pembentangan oleh perunding yang kemudiannya menimbulkan persoalan oleh perunding berhubung peranan kerana dirinya bukan penasihat rasmi TIA.

Perbicaraan akan bersambung sebentar lagi sekitar 9.30 pagi ini. –MalaysiaGazette