Pemandangan atas Kampong Bharu yang berlatarkan Menara Berkembar Petronas (kiri) dan Menara Kuala Lumpur (kanan) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengemukakan bukti berhubung dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah menawarkan harga RM300 bagi setiap kaki persegi tanah Kampung Baru.

“Bila masa saya pernah tawar? Agensi kerajaan yang mana atau siapa yang tawar? Untuk projek yang mana? Tawar kepada siapa?

“Bagilah bukti supaya saya boleh check,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Tegas Najib, beliau sudah bertanya kawan-kawan dari kerajaan lama dan mereka memaklumkan BN tidak pernah memulakan tawaran kepada tanah Kampung Baru.

“Kan saya dah kata jika ianya benar bahawa kerajaan BN masa saya tawar harga RM300, dah lama Khalid dan geng dia berguling dan terguling-guling tepi jalan Kampung Baru masa itu.

“Tak pernah pun nampak bayang dia kat sana kampung masa itupun,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

Najib turut menyelar Khalid yang mendakwa beliau gagal menyelesai isu Kampung Baru meskipun menerajui Kerajaan BN selama sembilan tahun.

Soalnya, Khalid tahukah kerajaan mana yang menggubal dan meluluskan Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 pada tahun 2011 supaya hak penduduk Melayu Kampung Baru dijamin untuk selama-lamanya.

“Khalid tahu tak kerajaan yang manakah yang mewujudkan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru yang begitu menyeluruh itu untuk memastikan khazanah, sejarah dan keistimewaan Kampung Baru dapat dipelihara untuk selama-lamanya selepas ianya dibangun semula,” tanya beliau.

Untuk maklumat Khalid, katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengaku bahawa isu Kampung Baru adalah antara kegagalan dia dalam tempoh 22 tahun kerana beliau tidak setuju harga tawaran tinggi kepada pemilik tanah. (Boleh baca di sini: http://chedet.cc/?p=495).

Tegas Najib, kerajaan BN dahulu tak gopoh seperti PH yang mata duitan.

Sebaliknya, kerajaan BN mahu merancang secara betul dan memastikan keistimewaan Kampung Baru dan hak penduduk dipelihara dan dijamin dari semua aspek termasuk undang-undang dan dalam rancangan masa hadapan.

“Kita tak seperti dia yang hanya lihat pulangan RM30 bilion dari pelaburan RM6 bilion hingga RM10 bilion ini,” ujar beliau.

Najib berkata, beliau tidak pernah menghalang atau membangkang pembangunan semula Kampung Baru tapi tidak mahu penduduk Kampung Baru ditipu oleh kerajaan PH atau legasi Kampung Bharu diancam.

“Harga RM850 satu kaki persegi itu memang terlalu rendah melihat pulangan yang Khalid Samad sendiri mengaku.

“Penilaian JPPH tak patut digunakan sebagai alasan untuk menawarkan harga yang tak adil kepada pemilik tanah supaya kerajaan atau pemaju-pemaju swasta yang sewaktu dengan mereka dapat mengaut untung berpuluh-puluh bilion seperti diakui oleh Khalid,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penilaian jpph zaman mana yang Kerajaan PH guna?
    Tahun 1980an harga tanah sudah mencecah RM850 psf.
    Perbohong lagi Menteri PH pada rakyat. TAMAK dan haloba untuk cari untung Ali Baba.
    Kata menegakkan Islam tapi tindakan tak mencermin pun Sebagai seorang Islam.

Comments are closed.