Osman Sapian

Siapa sangka, tahun lepas merupakan pembentangan bajet sulung dan terakhir bagi Dato’ Osman Sapian selaku Menteri Besar Johor selepas Pakatan Harapan berjaya mentadbir Johor.

Bagi Bajet 2020 kali ini, sekali lagi rakyat Johor khususnya akan menyaksikan Menteri Besar yang baharu iaitu Dato Dr Sahruddin Jamal membentangkan bajet sulungnya kepada rakyat Johor.

Jadi apabila terdengar Menteri Besar Johor akan membentangkan Bajet 2020 tidak lama lagi di Dewan Undangan Negeri, tiba-tiba seperti dejavu apabila teringat kembali beberapa Bajet yang dibentangkan sebelum ini oleh Osman yang hingga ke hari ini langsung tidak nampak hasilnya.

Misalnya dalam titik sentuh ke -99 dalam teks penuh Bajet 2019 ada memaklumkan bahawa kerajaan negeri ingin membina sebuah Lapangan Terbang di Mersing berserta dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan.

Manakala melalui titik sentuh ke 201 pula, ada menyatakan bahawa kerajaan negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM5 juta melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk menjalankan kajian bagi mengenalpasti kesesuaian tapak
projek, rangkaian penghubungan darat dan sebaiknya.

Malah, peruntukan tersebut sudah pun diluluskan oleh Kerajaan Pusat pada November tahun lalu. Jadi persoalannya kini, sudah hampir setahun apakah keputusan kajian yang diperoleh kerajaan negeri?

Kos untuk kajian ini bukanlah satu jumlah yang sedikit tetapi menelan belanja sehingga RM5 juta, jadi di mana hasilnya?
Setahu saya sehingga ke hari ni kerajaan negeri tidak pernah menyentuh waima membentangkan hasil kajian mengenai lapangan terbang di Mersing kepada umum.

Sedangkan peruntukan tersebut sudah lama diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Takkan selepas umum sahaja terus diam membisu, begini ke cara kerajaan Pakatan Harapan Johor mengurus dan mentadbir kerajaan? Soalnya di mana sebenar peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Pusat, ada lagi atau sudah habis digunakan?

Tambah lagi, siapa pula yang dilantik oleh kerajaan negeri Johor untuk membuat kajian tersebut? Jika kajian tersebut benar-benar dilaksanakan, tidak perlu tunggu lagi tunjukkan sahaja kepada rakyat Johor bukan hanya cakap kosong sahaja.

Bukan apa, takut-takut nanti semasa pengumuman Bajet 2020, ada pula mengumumkan bahawa negeri Johor mempunyai bajet lebihan yang banyak. Walhal hakikatnya peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Pusat itu sebenarnya telah masuk ke dalam bajet lebihan. Siapa tahukan?

Jadi sebelum pengumuman pembentangan Bajet 2020 kelak, elok rasanya Menteri Besar Johor jelaskan awal-awal di mana peruntukan tersebut ataupun bentangkan sahaja hasil kajian jika sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Kita kena faham RM5 juta yang telah diperuntukan itu adalah duit rakyat sendiri jadi rakyat berhak mempersoalkanya. Banyak lagi yang boleh dilakukan dengan RM5 juta itu selain membuat kajian ‘ghaib’. Jadi harapan saya, Menteri Besar Johor dapat menjelaskan isu ini sebaik mungkin kepada umum.

Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor