Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam tidak menolak kemungkinan bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kelebihan pada pilihan raya kali ini selepas UMNO dan Pas menandatangani Piagam Muafakat Nasional.

Beliau berkata, walaupun BN akan meletakkan semula MCA di kerusi Parlimen Tanjung Paia kali ini, namun dengan semangat kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar boleh memenangkan siapa sahaja.

“Walaupun yang menandatangani itu dua parti Melayu Islam terbesar, tetapi di dalam piagam itu kita letak janji bahawa kita sebuah parti yang akan menjaga kepentingan masyarakat berbilang kaum Melayu, Cina dan India.

“Ada sesetengah orang cakap mungkin Pas akan boikot pilihan raya kali ini. saya rasa itu pandangan orang tersebut, tapi kita tak boleh nafikan pandangan dia,

“Saya rasa Pas ini dia punya walak kepada presiden dan Mursyidul Am Pas sangat tinggi.

“Kalau kita kata kita sokong calon yang diketengahkan BN walaupun daripada MIC, MCA, UMNO, saya yakin yang lain akan ikut (akar umbi Pas),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang juga PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bakal menjadi medan ujian pertama bagi kerjasama UMNO-Pas selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

SPR akan bermesyuarat pada 1 Oktober ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Tanjung Piai berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada Sabtu lalu.

MCA dijangka turut mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) berhubung kekosongan kerusi itu, minggu depan.

Media sebelum ini melaporkan akar umbi MCA mahu parti itu meletakkan calon bertanding walaupun UMNO didakwa mula melobi untuk mendapatkan kembali kerusi itu daripada parti berkenaan.

Pada PRU14, calon MCA yang juga penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, tewas tipis kepada Dr Md Farid dengan perbezaan 524 undi dalam pertembungan tiga penjuru, manakala calon PAS, Nordin Othman pula memperoleh 2,962 undi. – MalaysiaGazette