Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan polis kerana disyaki memuat naik kenyataan sensitif dan perkauman berhubung kes tembak mati suspek dalam insiden amuk dan tetak dua rakan sekerja di kilang B Brown di Bayan Lepas, Pulau Pinang Isnin lalu.

Mereka yang ditahan penganggur, pemandu jentolak dan subkontraktor masing-masing berusia 23, 42 dan 28 tahun. hingga 42 tahun itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk permohonan reman oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini.

Timbalan Pengarah Forensik Data Bank DNA Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, pihak polis telah mengesan kenyataan berbaur isu perkauman yang dimuat naik dalam Facebook.

Kenyataan tersebut, katanya, dimuatnaik Dun Lunas berbunyi “Di tanah perkuburan Islam, ini bersemadilah seorang Syuhada Alsyahid Sheikh Muhammad Khairil yang mati ditembak gara2 menetak dua orang kapiaq menghina junjungan Besar nabi saw dihadapan beliau.Moga Allah Kurniakan Syurga Firdaus pada Arwah.”

“Hasil siasatanmendapati akaun Dun Lunas itu milik seorang lelaki di Lunas, Kedah serta  dua laporan polis oleh awam menyusul dalam isu sama ke atas dua lagi pemilik akaun Facebook bernama Zulkifli Mohd Kadir dan Mohd Hafizi yang memuat naik kandungan kanyataan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian di Bukit Aman pagi ini.

Mengulas lanjut, katanya, kenyataan akaun Dun Lunas telah dimuat naik pada 24 September pada pukul 3.26 petang sebelum dibaca, diulas selain diviralkan dalam media sosial Facebook.

Hasil tindakan susulan, polis pada 26 September telah membuat tangkapan tiga lelaki tersebut di Kedah dan Pulau Pinang.

“Suspek pertama berusia 32 tahun yang tidak bekerja ditangkap di Butterworth oleh Polis Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang pada pukul 1.15 petang dan telefon bimbitnya dirampas untuk tindakan siasatan lanjut.

“Manakala suspek kedua merupakan seorang pemandu jentolak berusia 42 tahun ditahan dan telefon bimbit dirampas oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPK kedah pada hari sama pukul 1.35 petang.

“Dan akhirnya suspek ketiga berusia 28 tahun bekerja sebagai subkontraktor ditangkap di Kuala Muda oleh pasukan polis IPK Kedah pukul 12.27 malam (27 September) dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menjelaskan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum  dua tahun atau denda atau kedua duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh membawa hukuman denda tak lebih RM50,000 atau penjara setahun,” ujarnya.

Beliau sehubungan itu merayu masyarakat supaya tidak terbabit dengan kes-kes penyebaran kenyataan berbaur hasutan sedemikian.

“Berilah ruang kepada polis menjalankan siasatan polis,” tegasnya lagi.

Ditanya mengenai kenyataan terbaharu berkait kes tembak mati berkenaan oleh seorang pemimpin Puteri UMNO dalam satu ceramah di Kelantan semalam, beliau menegaskan polis akan menjalankan siasatan lanjut kes itu sebelum mencadangkan sebarang tindakan lanjut.

“Kita akan siasat bukti-bukti dulu sekiranya ada laporan polis nanti (kenyataan puteri UMNO) sebelum rujuk kepada tindakan lanjut dan setakat ini tiga individu berkenaan sahaja ditangkap,” katanya. – MalaysiaGazette