Reaksi sugul sewaktu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di Hotel Marriott, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Setelah sebak dan menangis dalam satu acara di Putrajaya hari ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tampil menjelaskan mengapa beliau dilihat menitiskan air matanya.

Dalam entri di Instagram, Maszlee berkata, ada sebab yang jelas tentang mengapa beliau dilihat berkali-kali tidak dapat menahan perasaannya.

Malah Maszlee juga terpaksa berhenti beberapa kali sebelum meneruskan ucapan Penutupan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (SEIC) 2019 di Hotel Marriott.

“Pertamanya, di sebalik ribuan penyertaan termasuk 11 delegasi pembentang dari luar negara, realiti di luar sangat berbeza. Terlalu banyak urusan yang belum selesai mengenai OKU terutamanya yang berkaitan dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Kedua, di sebalik tahap penganjuran yang kelihatan begitu gah, realitinya Bahagian Pendidikan Khas di KPM masih banyak perlu dilakukan,” kata beliau di Instagram.

Selain itu, beliau mengesahkan tahap kesediaan dan kemahuan para pegawai yang perlu bergerak lebih laju dengan reformasi yang ingin direncanakan beliau.

Juga, beliau tersentuh dengan dendangan lagu ‘Imagine’ yang dinyanyikan oleh sebuah kumpulan pancaragam dari sebuah sekolah.

Namun dalam status itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tidak pula menjelaskan mengenai kebimbangan beliau mengenai kemungkinan ada dalam kalangan pegawai-pegawai di kementeriannya yang tidak  berkongsi impiannya untuk memastikan Murid Berkeperluan Khas (MBK) tidak lagi disisihkan.

Sebaliknya, beliau percaya para pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan merealisasikan impian beliau untuk melihat MBK tidak lagi disisihkan dan hidup terasing dalam masyarakat.

“Saya hanya boleh terus bekerja lebih keras, dan percaya para pegawai KPM juga akan turut bersama-sama dengan saya bekerja lebih keras untuk memberikan yang lebih baik buat anak-anak ini.

“Maafkan saya kerana emosional. Anak-anak ini semua, adalah amanah saya,” katanya. -MalaysiaGazette