Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR- Malaysia yakin Tabung One WASH yang diwujudkan dua hari lalu dapat membantu Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) memulakan era baharu bagi pembiayaan pembangunan, sekali gus membuktikan pembiayaan Islamik bersama modal swasta dan badan pembangunan antarabangsa boleh memberi impak kepada masyarakat yang memerlukan.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, ia merupakan salah satu contoh kerjasama pelbagai hala di mana setiap organisasi melengkapi kekuatan, keupayaan dan kapasiti kerja masing-masing untuk menyelesaikan satu isu global.

“Penubuhan Tabung One WASH adalah berdasarkan inovasi mekanisme pembiayaan untuk menarik dermawan baharu serta pelabur modal swasta dan digabungkan dengan sumbangan kewangan sosial Islam.

Inisiatif bersama ini adalah tepat pada masanya kerana data global terkini menunjukkan setiap 10 saat, seorang individu akan dijangkiti taun atau penyakit berkaitan cirit-birit.

Maka program yang disokong oleh tabung ini dijangka dapat membantu meningkatkan jangka hayat kira-kira lima juta rakyat di 29 negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengumuman mengenai penubuhan Tabung One WASH dibuat semasa Dialog Peringkat Tertinggi Pembangunan Pembiayaan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-74.

Menurut Azmin, Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang diberi penghormatan untuk membuat pengumuman mengenai inisiatif-inisiatif baharu pada dialog tersebut.- MalaysiaGazette