KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam pertemuan pada aksi final Piala Cabaran yang menggunakan format timbal balik, awal bulan depan.

Pengendali berusia 42 tahun itu mengakui JDT mempunyai kelebihan di atas kertas menerusi pemain import berkualiti, selain diperkuatkan beberapa bekas pemain kebangsaan, namun beliau berharap skuad UKM FC yang dibarisi sebahagian besar pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dapat memberikan saingan sengit kepada skuad Harimau Selatan pada aksi final nanti.

Beliau mengakui pemain ‘The Varsity Boys’ amat teruja untuk mendakap trofi Piala Cabaran buat julung kalinya setelah tewas dengan keputusan agregat 2-4 kepada Terengganu FC II pada aksi final edisi sulung Piala Cabaran pada musim lepas.

“Semua orang semestinya menunggu perlawanan ini kerana JDT II adalah sebuah pasukan terbaik. InsyaAllah, kita akan buat yang terbaik walaupun JDT II adalah pasukan pilihan pada perlawanan akhir nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas UKM FC mengatasi Sarawak 6-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan UKM FC mara ke final dengan keputusan agregat 7-1.

Untuk rekod, UKM FC mengatasi Sarawak 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching pada 22 September lepas.

JDT II mengatasi UKM FC 2-1 pada aksi Liga Premier, 9 Februari lepas di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, sebelum UKM FC menewaskan JDT II 3-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 12 Julai.

Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Sarawak, Mohd Denny Da’ail mengakui persediaan skuad Bujang Senang agak perlahan memandangkan pasukan berkenaan kurang menjalani latihan, susulan jerebu yang melanda negeri berkenaan, baru-baru ini.

“Kita memang tiada persediaan bagus sebelum aksi separuh akhir pertama kerana jerebu, dan kita boleh lihat pada perlawanan ini, pemain dilihat agak kurang cergas,” jelasnya.

JDT II mara ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas TFC II pada satu lagi aksi separuh akhir, baru-baru ini. – Bernama