Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik
KLUANG – Kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada untuk mengiktiraf atau tidak Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, buat masa ini kementeriannya masih menunggu laporan berhubung perkara itu daripada Jawatankuasa Kajian UEC.

“Bagi Semenanjung Malaysia, kita masih menunggu laporan daripada Jawatankuasa Kajian UEC yang telah kita tubuhkan dan hasilnya kita akan bawa ke kabinet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sentuhan Kasih Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah-Sekolah Parlimen Simpang Renggam di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kerajaan Sabah yang sudah mengiktiraf UEC, Maszlee berkata, itu keputusan Kerajaan Negeri berkenaan.

Malam tadi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap pada sambutan Festival Kuih Bulan di Kota Kinabalu dilaporkan berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.

“Kerajaan Negeri telah mengiktiraf UEC di Sabah. Kami telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini,” katanya seperti dilaporkan.

Mengulas mengenai seorang murid lelaki Tahun Empat di sebuah sekolah rendah di Likas, Sabah, yang mendakwa guru menghukumnya dengan stapler sehingga luka di telinga kiri akibat tidak menyiapkan kerja sekolah, dua hari lepas, Maszlee berkata pihaknya sedang menunggu siasatan mengenainya.

“Kita (Kementerian Pendidikan Malaysia) masih tunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sebab kita mahu siasatan lengkap mengenainya,” katanya.

Mengenai program Sentuhan Kasih SPM dan STPM Sekolah-Sekolah Parlimen Simpang Renggam yang turut dihadiri angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, Maszlee berkata ia diharap dapat meningkatkan semangat para pelajar di kawasan Parlimen itu untuk berjaya dalam peperiksaan masing-masing. – MalaysiaGazette