Exists yang genap usia 28 tahun dalam merentasi perjalanan masa bergelar anak seni. Foto Ihsan Astro

SHAH ALAM – Cukup hanya satu malam namun penuh makna. Ya, terlalu indah dan menggamit nostalgia kepada semua hati.

Semuanya bersatu, ada rindu, kasih sayang dan cinta yang sesekali beralun dengan rasa bahagia.

Tanggal 28 September 2019 bakal diingati oleh peminat Exists yang genap usia 28 tahun mereka merentasi perjalanan masa bergelar anak seni.

Vokal Mamat (kiri) dan Ezad cukup mempersonakan. Foto Ihsan Astro.

Dan indahnya, selepas tempoh itu, band kelahiran Johor Bahru itu kekal menjadi kesayangan semua.

Bertempat di Stadium Malawati di sini, Exists berjaya menghimpunkan lebih 4,000 peminatnya dalam satu malam demi menyaksikan konsert yang dinamakan Exists Reunion.

Tidak perlu gimik atau celoteh yang panjang, vokalis Mamat dan Ezad sudah memadai kerana dua figura ini berjaya melontarkan vokal mereka yang cukup mempersonakan.

Penonton larut bersama nostalgia dalam Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam. Foto Ihsan Astro.

Selama dua jam konsert berlangsung, Exists membawa peminat mengimbau kembali perjalanan karier ketika mula pertama kali mencetuskan fenomena dengan lagu Oh Ibu pada tahun 1991.

Satu malam yang cukup indah namun berjaya memberi tafsiran untuk 28 tahun perjalanan kehidupan Exists sehingga bergelar band popular dalam industri hiburan tempatan walaupun tidak terlepas dengan kontroversi.

Rangkaian 24 buah lagu yang dipersembahkan semuanya malar segar dan lebih gamat, penonton turut larut menyanyi bersama Mamat dan Ezad.

Along (kanan) dan Shah. Foto Ihsan Astro.

Lagu-lagu seperti Anugerah, Janji Padamu, Percayakan Siti, Kapal Terbang Kertas, Bunga, Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu, Dirantai Digelangi Rindu, Untukmu Ibu, Mama Tolong Percaya, Julia, Mengintai Dari Tirai Kamar, Langkah Seiringan, Jesnita, Rahsia Pohon Cemara dan Alasanmu cukup mengubat kerinduan penonton.

Apatah lagi, bait- bait lirik yang dipaparkan di skrin membolehkan peminat untuk sama-sama terbuai.

Dalam pada itu, Exists juga mempersembahkan lagu baru mereka, Tak Berakhir yang menggabungkan alunan vokal Mamat dan Ezad.

Rata-rata penonton yang hadir berusia 30 tahun ke atas. Foto Ihsan Astro

Empat lagu terakhir iaitu Langkah Seiringan, Jesnita, Rahsia Pohon Cemara dan Alasanmu juga dipersembahkan secara duet oleh Mamat dan Ezad.

Tepat 11 malam, penonton pulang dengan senyuman yang puas kerana dapat menikmati persembahan rangkaian lagu hits Exists ketika mereka memasuki zaman remaja hinggalah beranak-pinak. – MalaysiaGazette