Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (tengah) berucap pada Perasmian Persidangan Perwakilan Negeri, Pemuda dan Wanita Wilayah Persekutuan 2019 di Menara PGRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah diingatkan tidak membuat pengumuman yang sia-sia dengan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam negeri itu.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berkata, sepatutnya jaminan perlu diberikan terlebih dahulu agar pemegang sijil UEC boleh diserap terus dalam sektor awam dan bukannya dalam syarikat milik kerajaan (GLC) semata-mata.

“Jangan buat pengumuman itu sebagai sia-sia saja, seperti mana yang berlaku di Pulau Pinang.

“Walaupun Pulau Pinang mengumumkan pengiktirafan UEC tetapi mereka bukan boleh terus menggunakan sijil UEC terus menjadi penjawat awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Mereka hanya boleh pergi kepada syarikat-syarikat di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang saja.

“Ia satu perbezaan besar dan boleh diterima oleh kerajaan negeri di sektor awam negeri itu atau di bawah syarikat-syarikat kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Negeri Sabah yang mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke IPTA dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Menurut Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bagaimanapun ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum mereka diterima masuk universiti, termasuk perkhidmatan awam negeri.

Dalam pada itu, Gerakan juga mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri Sabah itu sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada lepasan UEC di negeri itu.

“Kita mengalu-alukan pengiktirafan UEC di Sabah bahawa pelajar-pelajar UEC itu dapat kerja dalam sektor awam bagi negeri Sabah dan juga boleh masuk dalam univerisiti di Sabah.

“Memang ia berita baik dan kita memang sokong pengiktirafan UEC di seluruh negara,” katanya.

Katanya lagi, Gerakan turut menggesa mana-mana kerajaan negeri mengikut langkah sama itu khususnya di universiti yang dibina oleh kerajaan negeri masing-masing.

“Kita mengalu-alukan jika universiti yang dibina oleh kerajaan negeri itu mereka boleh terus menggunakan sijil UEC sebagai syarat yang sah untuk mereka masuk ke universiti tempatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Sabah iktiraf UEC sebagai syarat masuk IPTA, perkhidmatan awam negeri

Kerajaan belum buat keputusan untuk iktiraf UEC