Ketua Farmasi Hospital Pakar KPJ Perlis (KPJ Perlis), Nur Hamimi Hamzah.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 15 peratus produk farmaseutikal yang terdapat dalam pasaran di seluruh dunia kini merupakan ubat-ubatan palsu.

Ia bukan sahaja tidak bermutu, mengandungi bahan berbahaya selain label yang dipalsukan dan mampu mengancam nyawa pengguna.

Ketua Farmasi Hospital Pakar KPJ Perlis (KPJ Perlis), Nur Hamimi Hamzah berkata, penemuan mengejutkan itu kerana ramai pengguna yang terpedaya dengan iklan produk ubatan tiruan terutamanya menerusi di media sosial.

“Pengiklan akan menggunakan dakyah seperti harga ubat-ubatan yang murah, berkesan memulihkan penyakit serta testimoni yang menyakinkan.

“Sebenarnya, ubat-ubatan tiruan ini mengandungi sukatan bahan kimia melebihi paras ditetapkan, bahan berbahaya seperti merkuri, arsenik, kadmium dan plumbum.

“Kesannya amat mengejutkan kerana boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, pening kepala, muntah, kerosakan buah pinggang dan paling serius boleh menyebabkan kematian.

“Malah, produk berkenaan mungkin dihasilkan di premis yang tidak berlesen selain tidak memenuhi Amalan Perkilangan Yang Baik (GMP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamimi berkata, semua produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan sebelum dipasarkan kepada pengguna.

“Produk berdaftar kebiasannya mempunyai dua ciri iaitu nombor pendaftaran contohnya (MAL20085264A) dan label hologram Meditag. Produk ini akan dinilai dari segi kualiti, keberkesanan dan keselamatan kepada pengguna.

“Pengguna boleh menyemak status pendaftaran semua produk farmaseutikal menerusi portal https://www.npra.gov.my untuk mendapat maklumat lanjut seperti nama produk, nombor pendaftaran, nama pemegang pendaftaran bahan aktif dan nama pengilang,” katanya.

Katanya lagi, pengguna perlu mendapatkan nasihat dan rawatan di klinik serta hospital sama ada awam dan swasta bagi mengelak daripada ditipu pihak yang tidak bertanggungjawab yang memasarkan produk tidak berdaftar.

Dalam pada itu, Nur Hamimi juga menasihatkan pengguna produk makanan tambahan (suplemen) supaya mendapatkan nasihat pakar kesihatan sebelum menggunakannya secara berkala.

“Sebenarnya individu yang sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit tidak perlu mengambil suplemen.

“Makanan tambahan memang tidak memudaratkan kesihatan dalam tempoh jangka masa pendek namun dikhuatiri boleh merosakkan organ dalaman bagi jangka masa panjang.

“Sebagai contoh, pengambilan vitamin larut lemak seperti A, D, E, K yang berlebihan akan memberikan kesan kepada hati. Vitamin ini sebenarnya boleh didapati dengan mudah dan mencukupi daripada makanan semula jadi yang dimakan.

“Pengambilan suplemen larut air seperti vitamin C dan B berlebihan boleh membebankan buah pinggang dalam jangka masa panjang selain boleh menyebabkan keracunan pada tubuh pengamalnya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pesakit dan pengguna kini boleh melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kadar bayaran hanya RM1 di klinik dan hospital kerajaan.

“Mutu perkhidmatan kesihatan kita setanding dengan negara maju di seluruh dunia selain terdapat rawatan susulan dan pengambilan ubat secara konsisten oleh pakar perubatan.

“Sementara di hospital swasta, kadar harga bagi menjalani pemeriksaan kesihatan agak berpatutan dan sesiapa sahaja mampu untuk melakukannya kerana tahap kesihatan yang baik merupakan idaman setiap manusia.

“Sebaiknya, kita ingin hidup sihat tanpa penyakit atau penyakit yang dapat dikawal dengan sempurna sehingga kematian menjemput kita,” katanya.- MalaysiaGazette

Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Hospital Pakar KPJ Perlis, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM.