Ketua Penerangan Parti IKATAN Bangsa Malaysia Pusat, Nik Marhalim Mohd Bakri

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Bahagian Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Bandar Tun Razak mengenai PRK Tanjung Piai tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

Ketua Peneranganya, Nik Marhalim Mohd. Bakri berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Aliff Tafid merupakan sekadar cadangan peribadi.

Katanya, sebagai parti komponen dalam Gagasan Sejahtera, Ikatan mempunyai pendirian selaras dengan semangat gagasan itu dan Muafakat Nasional serta menyokong penuh keputusan Pengerusi Gagasan Sejahtera, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang kini berada di luar negara telah maklum akan perkara ini dan menegaskan pendirian parti mengenai PRK Tanjung Piai selaras dengan semangat Gagasan Sejahtera dan Muafakat Nasional.

“Perpaduan dan persepakatan di antara Gagasan Sejahtera dan Muafakat Nasional adalah penting demi kesinambungan blok pembangkang ke arah PRU15,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Nik Marhalim, semangat dan kerjasama yang dibina melalui Gagasan Sejahtera dan Muafakat Nasional merupakan aspirasi rakyat yang akan dipertahankan pada PRK Tanjung Piai hingga ke PRU-15.

Katanya, kerjasama politik itu adalah penting untuk menguatkan blok pembangkang dalam mendepani cabaran politik pada masa akan datang.

Tambah beliau, Parti Ikatan tetap utuh bersama Pas dan BERJASA di dalam Gagasan Sejahtera, dan kini bersama menyokong Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO.

Jumaat lalu, Aliff dalam satu kenyataan menyebut UMNO dan MCA tidak perlu berebut untuk bertanding pada Pilihan PRK Tanjung Piai dan wajar menyerahkan kerusi tersebut kepada Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) atas dasar dan prinsip Muafakat Nasional.

Sehubungan itu kata beliau, Pas perlu bertegas kepada UMNO dalam perkara tersebut.

“Pas sebagai ketua dalam mengurus tadbir Gagasan Sejahtera perlu bersikap tegas terhadap UMNO dengan meletakkan calon Berjasa bertanding di Parlimen itu kelak.

“Jika tidak, Berjasa dan Ikatan dalam Gagasan Sejahtera dianggap sebagai parti terpinggir sahaja,” katanya seperti dilaporkan. – MalaysiaGazette