Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, SAC Mior Faridalatrash Wahid bercakap pada sidang media Harian Polis DiRaja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd. Fauzi dirakam keterangan oleh pegawai pasukan Perundangan dan Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini.

Pemimpin wanita pembangkang itu akan hadir ke Bukit Aman pukul 10 pagi ini untuk memberi keterangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu dalam sidang media harian di sini hari ini.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima di Pulau Pinang terhadap kenyataan Naib Puteri UMNO dalam ceramah di Kelantan itu baru baru ini.

“Kami panggil Naib Puteri UMNO 10 pagi hari ini untuk dirakam keterangan di Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Meskipun diberi amaran oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador minggu lalu supaya orang awam tidak membuat spekulasi mengenai kes tembakan itu, Nurul Amal ketika tampil berceramah di Kubang Kerian, Kota Bharu pada malam 25 September lalu telah secara terbuka merujuk penyerang terbabit sebagai seorang sheikh yang syahid.

Wanita itu mendakwa kematian itu terjadi selepas suspek mengamuk kerana marah terhadap dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Sebelum ini, Abdul Hamid mengesahkan suspek mengamuk yang ditembak mati sebenarnya terpengaruh dengan banyak klip video keganasan dari Timur Tengah yang menunjukkan keganasan serantau terhadap umat Islam dan tidak berkaitan dengan soal perkauman di negara ini sambil melontar amaran kepada awam tidak spekulasi isu itu.

Tambah beliau, dalam perkembangan berkaitan tiga suspek lelaki yang telah ditahan dalam operasi di Kedah pada 25 September lalu dan direman lima hari kerana memuat naik kenyataan berbaur sensitif berhubung ke tembak mati suspek mengamuk di kilang B Brawn Bayan Lepas, Pulau Pinang itu yang akan tamat tempoh hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, laporan siasatan kes ketiga tiga individu masing masing berusia antara 23 hingga 42 tahun itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Pada sidang media minggu lalu, Timbalan Pengarah Forensik Data Bank DNA Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketiga- tiga mereka dicekup dalam serbuan di Kedah dan Pulau Pinang pada 26 September lalu di lokasi berasingan dan telefon bimbit masing masing dirampas sebelum direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Siasatan polis selepas melayari internet dan terlihat posting itu mendapati pemilik akaun yang memuat naik kenyataan itu adalah bernama Dun Lunas berbunyi; “Di tanah perkuburan Islam, ini bersemadilah seorang Syuhada Alsyahid Sheikh Muhammad Khairil yang mati ditembak gara-gara menetak dua orang kapiaq menghina junjungan Besar nabi saw dihadapan beliau.Moga Allah kurniakan syurga Firdaus pada arwah,” katanya.- MalaysiaGazette