Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan calon Cina bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai jika mahu kekal mempertahankan kerusi itu.

Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Isham Abdul Jalil berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah meletakkan calon Melayu dan mendapat 22 peratus atau 5,500 undi orang Melayu.

Berbanding UMNO dan Pas, katanya, kedua-dua parti itu mendapat 78 peratus atau kira-kira 19,000 undi orang Melayu.

Kata beliau, PH menang tipis sebanyak 524 undi pada PRU-14 yang ditentang oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas disebabkan undi Melayu berpecah tiga ketika itu.

“PPBM juga mendapat 80 peratus iaitu 15,300 undi Cina berbanding BN yang hanya mendapat 20 peratus atau kira-kira 4,000 undi Cina.

“Sebanyak 80 peratus undi Cina ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan purata kebangsaan iaitu 95 peratus undi Cina kepada PH di kerusi parlimen lain,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bahagian PPBMTanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Menurut Isham, terdapat dua sebab mengapa perkara itu terjadi di Tanjung Piai ketika PRU-14, sama ada orang Cina tidak mahu mengundi calon Melayu dari parti PPBM di situ atau mereka suka calon BN.

Beliau yang merupakan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak berkata, peratusan keluar mengundi orang Cina di Tanjung Piai pada PRU-14 lalu adalah lebih tinggi daripada Melayu, iaitu 86 peratus berbanding 82 peratus Melayu.

“Jika PH meletak calon Melayu pada PRK kali ini sokongan pengundi Melayu kepadanya tetap akan berkurangan kerana sentimen semasa orang Melayu terhadap PH yang negatif.

“Juga, jika PH letak calon Melayu, mereka tetap akan dapat sekurang-kurangnya 80 peratus undi Cina kerana jumlah itu akan keluar beramai-ramai mengundi calon PH sebab mereka tidak mahu BN menang,” ujarnya.

Namun, jelas Isham, jika PH meletakkan calon Melayu dan mendapat kurang daripada 95 peratus undi Cina pada PRK ini iaitu 80 peratus undi Cina seperti PRU14 yang lalu, maka mereka akan kalah.

Sebaliknya, kata beliau lagi, jika PH meletakkan calon Cina, sokongan kaum itu kepada PH akan bertambah.

“Jika 95 peratus pengundi Cina mengundi PH di Tanjung Piai seperti purata kebangsaan, mereka (PH) mungkin ada harapan untuk menang.

“Namun, penentuan sama ada calon Cina atau Melayu inilah yang menjadi dilema dalaman PH sekarang, sebab itu sehingga kini mereka belum menentukan siapa calon.

“Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan orang yang rapat dengannya tentunya sudah tahu hal dan fakta ini,” katanya.

Kata beliau, jika PH meletakkan calon Melayu dari parti PPBM dan kalah lagi dalam PRK ini, hilanglah air muka mereka kepada parti komponen lain sebab sebagai Perdana Menteri partinya kerap kalah dalam pilihan raya.

“Dr. Mahathir mungkin perlu tunduk kepada DAP lagi kali ini dan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim bijak, dia tentunya tidak mahu PPBM menang di Tanjung Piai sebab kemenangan parti itu adalah kemenangan Mahathir serta kemenangannya akan memanjangkan lagi tempoh beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette