Kumpulan lelaki yang tidak berdiri ketika lagu Negaraku sedang dimainkan.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Merbok meminta polis mengambil tindakan segera ke atas sekumpulan lelaki yang tidak bangun ketika lagu kebangsaan, lagu Negaraku sedang dimainkan.

Ketuanya, Muhamad Nur Aizat Noor Azam bimbang tindakan biadab kumpulan lelaki itu akan mencetuskan kemarahan bangsa lain yang cintakan tanah air Malaysia.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana tindakan sekumpulan lelaki itu memilih untuk tidak berdiri ketika lagu Negaraku sedang berkumandang. Merela telah menunjukkan sikap kurang ajar ditahap tidak masuk akal.

“Kami minta polis lakukan siasatan segera dan membawa lelaki biadab itu ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, tular satu video memaparkan lagu Negaraku sedang dinyanyikan dalam satu majlis, tetapi ada sekumpulan hadirin kelihatan duduk sambil bersembang dan menikmati makanan yang terhidang di atas meja.

Mereka tidak berdiri, sebaliknya hanya tersenyum ketika video dirakam dan menurut satu hantaran di Facebook, majlis tersebut adalah makan malam yang berlangsung semalam dan kumpulan yang tidak berdiri itu adalah pasukan sukarelawan S4S.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, perbuatan itu adalah satu kesalahan yang boleh disabitkan mengikut akta sedia ada khusus untuk lagu kebangsaan.

“Ini satu kesalahan di bawah Akta Lagu Kebangsaan (ALK) kerana gagal memberi penghormatan atau tidak berdiri semasa lagu NegaraKu dinyanyikan,” kata Mior Faridalathrash.

Menurut Muhamad Nur Aizat lagi, Seksyen 8 ALK dengan terang dan jelas menyebut mengenai “tanda hormat” apabila lagu kebangsaan dimainkan.

Kata beliau, seksyen itu menyatakan apabila lagu kebangsaan dimainkan atau dinyanyikan, semua orang yang hadir hendaklah berdiri sebagai tanda hormat, dan jika gagal berbuat demikian boleh disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara bagi tempoh satu bulan dan denda RM300.

“Kelakuan lelaki ini sangat kurang ajar dan patut dihadapkan ke mahkamah kerana berdasarkan video itu, perbuatan mereka mempunyai kecenderungan tinggi merendahkan prestij lagu kebangsaan pada pandangan orang awam.

“Kepada polis, lakukan siasatan dan tangkapan segera terhadap mereka yang melanggar Seksyen 8 ALK.

“Kita turut menggesa kerajaan dan Ahli Parlimen meminda ALK 1968 (Akta 808) agar hukuman lebih berat dikenakan kepada rakyat Malaysia yang biadab dan kurang ajar,” katanya. – MalaysiaGazette