Akibat penangan Covid-19, Muhammad Fuad Abdul Rahman terpaksa menyara keluarga dengan menjadi penghantar makanan di Pulau Pinang memandangkan tiada lagi kerja sebagai pemandu bas pelancong.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib pekerja-pekerja Food Panda yang sedang menuntut pembelaan bagi mendapatkan hak mereka, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengajak kumpulan itu hadir ke rumahnya malam esok untuk satu sesi dialog.

Menerusi laman Twitter, Syed Saddiq memuat naik satu video di mana beliau melahirkan rasa simpati terhadap nasib pekerja-pekerja Food Panda yang majoriti terdiri daripada anak-anak muda yang bekerja siang dan malam.

“Majoriti mereka yang bekerja dgn Food Panda dan dalam sistem Gig-ekonomi ini datang dari golongan anak muda yang bekerja siang dan malam,” katanya.

Kelmarin pekerja-pekerja Food Panda melancarkan mogok dan berkumpul beramai-ramai di perkarangan syarikat itu di SouthGate Sungai Besi kerana membantah skim baru yang diperkenalkan.

Mereka juga menyifatkan sistem Gig-economy itu membolehkan pemilik platform Food Panda menukar sistem gaji sesuka hati tanpa perlu berbincang dengan pekerja sehingga mewujudkan senario ‘majikan memerah’ pekerja.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata, sistem Gig-ekonomi mempunyak banyak kebaikan tetapi dalam masa yang sama satu sistem semak imbang yang menyeluruh perlu diwujudkan supaya dapat mempertahankan nasib golongan pekerja.

“Sebab itu pada esok malam pukul 9.30 saya ingin menjemput rakan-rakan Food Panda dan umum datang ke rumah saya untuk satu sesi dialog.

“Saya ingin mendengar suara anda supaya isu ini dapat dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini. Suara anda suara saya,” katanya sambil memberikan alamat rumahnya di No 4, SS1/41, Petaling Jaya. – MalaysiaGazette