Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Tidak wajar kerajaan melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan dividen 2 peratus, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan.

Beliau berkata, jika dibandingkan pada era pemerintahan Barisan Nasional sebelum 2018, LTAT memberi dividen sehingga 12.5 peratus iaitu enam kali ganda berbanding tahun kewangan bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberi alasan kukuh beserta fakta berkenaan sebab utama pendapatan dan pelaburan LTAT agak lembap.

Kata beliau, Boustead dan Affin Bank merupakan dua aset terbesar LTAT yang tidak pernah rugi sejak 2013.

“Oleh itu, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) perlu memberikan penjelasan bagaimana pelaburan LTAT mencatat kerugian sejak PRU14 hingga hari ini.

“Alasan sama terus disuap kepada rakyat bahawa tempoh tiga tahun diperlukan untuk memulihkan ekonomi negara, walhal ia berkembang pesat sebelum PRU-14.

“Alasan juga diberikan seolah berlaku salah laku dalam kerajaan terdahulu kerana membayar dividen yang tinggi. Menariknya, hari ini LTAT menegaskan isu kedudukan kewangan tabung itu tidak mengandungi unsur salah laku jenayah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Shahir turut menggesa kerajaan PH untuk tidak memberikan dividen yang rendah seperti tahun ini pada masa akan datang kerana rakyat terus menderita dengan ekonomi yang makin teruk.

Ujar beliau, dividen 2 peratus itu seolah menemplak wira negara yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan negara.

“Simpanan tetap di bank komersial memberikan dividen lebih tinggi sehingga 4 peratus iaitu dua kali ganda berbanding dividen LTAT.

“Lebih tidak masuk akal apabila dividen LTAT juga agak rendah daripada kadar inflasi sekitar 3 peratus.

“Penabungan yang dibuat oleh wira negara dilihat tidak menguntungkan mereka dan PH yang menjadi kerajaan hari ini perlu memberikan solusi terbaik kepada LTAT dan ekonomi negara. – MalaysiaGazette