Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon (dua kiri) berbual bersama Pengerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC)-MAPEX 2019, Datuk Ng Seing Liong (dua kanan) serta yang lain pada sidang media mengenai Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 di Pejabat REHDA, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 01 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Harga rumah boleh dikurangkan jika pemaju tidak perlu membina tempat parkir kenderaan residen.

Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda), Datuk Soam Heng Choon berkata, pembinaan parkir biasanya menelan kos di antara RM40,000 sehingga RM50,000 seunit.

Dengan itu, Rehda menurut beliau menyarankan kerajaan supaya menggiatkan usaha untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Malaysia dan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Sebuah parkir menelan kos kira-kira 20-30 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan dan kos ini akan dipindahkan kepada pembeli.

“Sebab itu di negara-negara maju di mana sistem pengangkutan mereka amat canggih, keperluan untuk pemaju menyediakan parkir kepada pembeli dapat dikurangkan.

“Tetapi kita faham, infrastruktur di negara ini masih kurang cuma dengan perkembangan terkini apabila sudah banyak Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dibangunkan di stesen-stesen MRT dan LRT, ianya memberi satu petunjuk yang positif.

“Semoga pada masa hadapan, tempat parkir boleh dijadikan pilihan kepada pembeli dan bukannya kewajipan.

“Dengan cara sebegitu, kita boleh menawarkan harga rumah yang lebih rendah,” katanya semasa sidang media Kempen Pemilikan Rumah- Ekspo Hartanah Malaysia (HOC-Mapex) di sini hari ini.

Pameran hartanah yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 18 Oktober ini di Mid Valley Convention Centre dekat sini akan dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurut  Pengerusi Penganjuran Mapex, Datuk Ng Seing Liong, kehadiran Menteri Pengangkutan di pameran hartanah itu menunjukkan betapa pentingnya hubungan di antara pemaju perumahan dan kementerian kerana rangkaian pengangkutan yang strategik adalah penting bagi pembangunan komuniti.

Lebih 6,000 unit hartanah bernilai kira-kira RM6.4 bilion ditawarkan kepada pengunjung semasa pameran tersebut.-MalaysiaGazette