KLANG – Seorang pemandu lori yang tidak mengendahkan arahan untuk tidak melintas di laluan kereta api berhampiran Kampung Tersusun Mawai Baru, Pelabuhan Utara di sini, mengundang padah apabila lori yang dipandunya dirempuh sebuah lokomotif dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi.

Difahamkan, pemandu lori bertindak melintas di laluan kereta api itu walaupun telah diarahkan berhenti oleh penjaga stesen kereta api di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi berkata, lori yang membawa muatan simen yang dipandu lelaki berusia 43 tahun itu melintasi laluan kereta api berkenaan sebelum dilanggar sebuah lokomotif.

“Pelanggaran itu mengakibatkan lori tersebut terbalik dan muatan simen cair tumpah di lokasi kejadian.

“Manakala, lokomotif yang dipandu lelaki berusia 58 tahun itu rosak di bahagian enjin hadapan. Namun tiada kecederaan dialami oleh kedua-dua mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) mengikut Akta Keretapi 1991. – Bernama