Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu beramah mesra bersama petugas media ketika hadir pada Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 01 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu mengakui gabungan parti pemerintah sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai kerana ada sentimen selesa daripada pengundi.

Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara  mengakui, pengundi luar akan berbelah bahagi untuk turun mengundi kerana berpendapat Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini tidak akan menukar kerajaan yang memerintah.

“Selalunya, PRK ini sukar untuk mencapai kemenangan terutama sekali daripada pengundi luar kerana mereka berpendapat tidak akan ubah kerajaan. Tapi kalau PRU mereka akan balik dengan duit sendiri.

“PRK ini, kita lihat di Teluk Intan, tempat DAP agak kuat tapi kalah sebab ramai yang tidak pulang menganggap siapa menang tidak dapat mengubah kerajaan. Itu amat sukar bagi kami untuk mencapai kemenangan di PRK Tanjung Piai,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamd berkata, isu PKR Tanjung Piai akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) awal hari ini menetapkan tarikh mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November depan manakala, hari penamaan pada 2 November depan sementara hari mengundi awal adalah pada 12 November.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 15 November 2019.

Tarikh berkenaan diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham YB Datuk Wira Dr. Md. Farid Md. Rafik pada 21 September lalu. – MalaysiaGazette