Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Rakyat terkejut dan keliru dengan kenyataan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengkaji untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini menunjukkan kerajaan PH sekali lagi membuat u-turn walaupun pelbagai fitnah dilemparkan kepada Barisan Nasional (BN) mengenai sistem cukai itu sebelum ini.

Beliau berkata, pada Julai lalu PH mengisytiharkan “Tax Holiday” selama tiga bulan menyebabkan ramai taikun dan tauke besar bersorak riang, manakala 1 September 2018 kerajaan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Hasil dari “Tax Holiday” itu kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM7 hingga RM10 bilion cukai yang tidak dikutip hanya dalam jangkamasa tiga bulan dan wujud kekurangan perbelanjaan juga hasil dari kejatuhan harga minyak dunia untuk merealisasikan Bajet 2019 ketika itu.

“Hasil dari itu juga kerajaan PH terpaksa mencari dana lain seperti meminjam Bon Samurai termasuk menjual aset penting syarikat milik kerajaan dan juga Petronas dipaksa membayar dividen khas kepada kerajaan sebanyak RM30 bilion.

“Saya huraikan senario ini kerana Perdana Menteri membuat kenyataan untuk mengkaji semula pelaksanaan GST apabila Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan agar sistem cukai itu diperkenalkan semula,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau terkilan kenyataan Perdana Menteri seolah meletakkan kepincangan itu kepada rakyat dengan menyatakan “Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada lebih baik dari SST”.

Kata beliau, setahunya PH kata rakyat yang mahu GST dihapuskan, tetapi tiba-tiba sekarang rakyat dipersalahkan kerana seolah mahukan GST.

“GST diperakui lebih 160 negara di dunia dan hanya Malaysia yang mengundur ke belakang dengan membatalkan GST dan kembali kepada SST.

“Rakyat tidak peduli SST atau GST asalkan harga barangan lebih murah dan ianya mendatangkan kebaikan kepada status ekonomi negara,” katanya.

Buktinya jelas apabila setelah SST diperkenalkan semula tidak ada satu barang yang turun harga, selain telur ayam sebanyak 2 sen seperti dilaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menjelaskan, tidak ada kebaikan dan penurunan harga yang dapat dinikmati rakyat hasil kembalinya SST.

“Yang mendapat untung ialah syarikat besar dan peniaga yang boleh lari dari membayar cukai dan tidak mengisytiharkan keuntungan syarikat.

“Yang untung peniaga dan tauke besar hasil “Tax Holiday” diberikan kerajaan PH. Rakyat apa dapat?,” soal beliau.

Kata Ismail Sabri lagi, jika cadangan MIER ialah memperkenalkan semula GST dengan kadar lebih rendah dari sebelum ini 6 peratus, ini juga usaha pernah dilakukan Ahli Parlimen pembangkang yang pernah menyarankan dan memohon untuk kerajaan mempertimbangkan mengekalkan GST, tetapi menambah senarai barangan pengecualian dan meletakkan satu kadar lebih rendah seperti 3 peratus atau mengikut keperluan.

Jelaslah ujarnya, tidak ada satu pun janji dan formula yang mampu kerajaan PH lakukan untuk membantu rakyat, selain menipu dan mengingkari janji mereka kepada rakyat.

“Jika masih ada rakyat yang merasa mereka tidak tertipu, saya jadi hairan dan tak masuk akal.

“Saya hanya mahu bertanya kepada rakyat apakah yang kita semua dapat dari mandat yang diberikan kepada kerajaan PH hari ini, selain penghinaan, pembohongan, pengkhianatan dan penipuan mereka terhadap setiap kategori masyarakat dari luar bandar sehingga penghuni kota.

“Dari bayi baru lahir sehingga warga emas dan pesara, semuanya telah merasa kesannya. Kerajaan PH merupakan sebuah kerajaan yang telah terbukti gagal,” tegasnya.

Beliau mahu kerajaan PH memohon maaf kepada BN dan seluruh rakyat kerana berbohong mengenai GST.

Katanya, rakyat tertipu dan percaya mengenai omongan keburukan GST dan kebaikan SST, walhal ia sebaliknya,” katanya. – MalaysiaGazette