Ketua Pasukan Malaysia, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak bercakap pada sidang media sempena Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pasukan Harimau Malaya tidak memerlukan perubahan drastik pada perlawanan menentang Sri Lanka dan Vietnam.

Bagaimanapun ketua pasukan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak berpendapat skuad kebangsaan perlu memberi tumpuan untuk mengurangkan kesilapan kecil di atas padang.

“Saya tengok perlawanan, tak banyak perubahan yang perlu buat lagi. Bagi saya adalah mungkin kita kena kurangkan kesilapan fokus lebih kepada mengatur serangan pantas.

“Saya pernah tengok dan beraksi berdepan Vietnam dalam beberapa aksi antarabangsa sebelum ini yang mana mereka menerapkan permainan laju

“Barisan pertahanan perlu berjaga-jaga dengan kelajuan mereka untuk bertindak pantas mematahkan asakan bahaya mereka,” kata ketua pasukan Harimau Malaya itu pada sidang media perlawanan persabatan antara Malaysia dan Sri Lanka.

Malaysia akan bertemu Sri Lanka pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil esok sebelum bertandang ke Hanoi untuk berhadapan Vietnam pada perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia 2023, 10 Oktober ini.

Aidil Zafuan yang dipanggil untuk mengikuti latihan kem latihan skuad kebangsaan yang bermula 30 September lalu menyedari beliau perlu bekerja keras selepas menyaksikan rakan sepasukan beraksi dalam pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Indonesia sebelum ini.

“Jadi saya rasa ini peluang untuk saya menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu barisan pertahanan Harimau Malaya mengatur strategi mematahkan serangan lawan jika diberi peluang barisi pertahanan ketika berdepan Vietnam nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette