Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab pada Persidangasn LAWASIA Konstitusi dan Kaedah Undang-Undang di One World Hotel, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2019

PETALING JAYA – Kongres Maruah Melayu hanya memperjuangkan satu kaum atau etnik tertentu dianggap dominan di negara sebenarnya hanya mengundang reaksi negatif dalam kalangan masyarakat.

Demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkan perhimpunan Melayu itu tidak lebih sebagai perkakas politik parti tertentu yang memperjuangkan ketuanan Melayu.

“Sekiranya naratifnya bercakap mengenai masyarakat berbilang agama pelbagai kaum dan meluahkan kebimbangan dan keprihatinan Malaysia, itu adil.

“Tapi kalau mula bercakap tentang ketuanan, komuniti etnik tertentu yang dominan, mereka sebenarnya mengundang reaksi negatif sehingga alat politik yang buruk bagi negara ini,” katanya pada Persidangan Perlembagan dan Kedaulatan Undang-undang di sini hari ini.

Beliau mengulas isu Kongres Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada Ahad ini.

Kongres itu mengundang kritikan pelbagai pihak apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka hadir untuk memberikan amanat khas dan kehadiran beliau atas kapasiti pemimpin Melayu dan bukan perdana menteri.

Semalam, khabar angin mengatakan Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak dijemput untuk menghadiri kongres itu memandangkan parti yang dipimpinnya adalah parti pelbagai kaum berbanding Pas dan UMNO. – MalaysiaGazette