Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Kelantan, Supt Abdul Rozak Muhammad adalah antara sembilan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 4 Nov ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata Abdul Rozak akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Besut, Terengganu.

Pertukaran lain melibatkan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Jenayah Korporat/Kewangan) Kedah, DSP Elias Omar yang bakal menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah dengan memangku pangkat Supt.

Pegawai Turus Perundangan/Naziran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, DSP Chan Ngai Ho pula akan menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis dengan memangku pangkat Supt.

Arahan pertukaran itu turut menyaksikan DSP Koordinasi Masyarakat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak, DSP Rowney Michael Jalak akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Song, Sarawak, Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, Sarawak, DSP Zamry Alli (bakal Ketua Polis Daerah Betong, Sarawak); Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Sarawak, DSP Merbin Lisa (bakal Ketua Polis Daerah Simunjan, Sarawak).

Ketua Pusat Pengajian Pasukan Gerakan Am (PGA) Pulapol Kuching, Sarawak DSP Saga Chunggat (bakal Ketua Polis Daerah Dalat, Sarawak); DSP Pematuhan Integriti (1) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, DSP Amir Hussin (bakal Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Kedah dengan memangku pangkat Supt); dan Ketua Bahagian Pengurusan, Kuching, Sarawak DSP Samima Mustapha (bakal Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Sarawak).

— BERNAMA