Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda bercakap pada sidang media mengenai gabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan memberikan insentif kepada kakitangan awam yang mendedahkan salah laku dan penyelewengan disokong penuh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Bagaimanapun, kesatuan pekerja kerajaan itu tidak bersetuju mereka diberikan insentif tunai sehingga RM30,000, kata Presidennya, Datuk Azih Muda.

Beliau turut mencadangkan agar kakitangan tersebut dihargai dengan diberikan kenaikan gaji kerana ia lebih menjamin kedudukan kewangannya berbanding insentif tunai.

“Tawarkan mereka kenaikan gaji, sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali. Itu lebih menjamin masa depan dan lebih baik untuk jangka panjang.

“Kita perlu sedar, ada penjawat awam yang tidak mampu memohon pinjaman perumahan kerana gaji asas yang rendah dan tidak melepasi syarat minimum.

“Jika mereka menerima kenaikan gaji, sudah tentu mereka akan layak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat CUEPACS di sini, hari ini.

Menurut Azih lagi, langkah itu selaras dengan dasar kementerian ke arah penjimatan dan melaksanakan tanggungjawab dengan integriti.

Mengulas lanjut, Azih berkata, cadangan berkenaan pastinya mampu meningkatkan moral kakitangan dalam membantu kerajaan membersihkan sebarang salah laku.

“Mereka adalah pemberi maklumat, mesti dilindungi. Setiap aduan yang diterima mesti diteliti sepenuhnya tanpa ada sebarang pilih kasih,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kakitangan awam yang mendedahkan salah laku dan penyelewengan akan diberi insentif wang tunai sehingga RM30,000, selain menerima Anugerah Integriti dan Personaliti (IPA).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azih memberitahu, CUEPACS berharap kerajaan dapat menimbangkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) seperti yang pernah dijanjikan pentadbiran terdahulu.

Ini kerana katanya semakan sistem saraan tidak dibuat sejak tahun 2002 sehingga kini.

“Kami merayu insentif KGT dipertimbangkan semula. Dalam tempoh lebih 15 tahun, kerajaan telah memberi dua kenaikan gaji yang dapat mengejar kenaikan harga pengguna (barangan).

“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan dapat memberikan satu insentif kepada seluruh penjawat awam semua selepas ini.

Dalam pada itu, Azih turut memohon pertimbangan kerajaan untuk memyediakan rumah mampu milik bagi penjawat awam.

Ujarnya, peruntukan pembinaan perumahan berharga antara RM90,000 hingga RM150,000 perlu diberi kepada penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan atas keprihatinan mewujudkan perumahan kepada rakyat dan membantu kakitangan kerajaan memilik rumah sendiri.

“Bagaimanapun, sebahagian besar penjawat awam tidak mampu membeli rumah disebabkan baki gaji yang ada, tidak melayakkan mereka membuat sebarang pinjaman berkaitan perumahan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Klau tak nak kerje elok berenti je ambik pencen. Tiap tahun dapat naik pencen 2%, hati senang perut kenyang, tak payah pening pening.

    • Masa kecik tak belajar betul2.dah besar mulalah dengki ke org yg bekerja dgn kerajaan.menuntut tu hak dia org.lulus atau tidak hak kerajaan.

Comments are closed.