NEW YORK – Syarikat e-hailing, Uber Technologies Inc. menerokai bidang baru di bandar raya New York di mana pengguna yang mempunyai sedikit duit lebihan boleh membelanjakannya menempah penerbangan helikopter untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy tidak lama lagi menerusi aplikasi mereka.

Syarikat itu mengumumkan tawaran perkhidmatan Uber Copter semalam, dengan berkata penerbangan ke dan dari Lower Manhattan akan ditawarkan kepada semua pengguna Uber pada 3 Oktober. Uber menawarkannya kepada ahli premium syarikat itu pada Jun lalu.

Penerbangan yang mengambil masa selama kira-kira lapan minit itu ditawarkan pada harga antara AS$200 hingga AS$225 seorang dan ia termasuk pengangkutan darat pada setiap perjalanan.

Penumpang boleh membawa beg kecil dan perlu menonton video keselamatan sebelum berlepas, sama seperti amalan dalam pesawat, lapor Reuters.

Penerbangan itu dikendalikan oleh HeliFlite.

Ketika ini, Uber membawa penumpangnya ke kawasan pendaratan helikopter itu di Manhattan daripada bahagian selatan pulau tersebut.

Uber berkata, perkhidmatan itu bertujuan mengurangkan masa perjalanan, namun apabila Reuters mencuba perkhidmatan helikopter pada Rabu lalu, perjalanan dari pejabat yang terletak di tengah bandaraya ke lapangan terbang mengambil masa selama 70 minit, termasuk penggunaan keretapi bawah tanah dan penggunaan dua perkhidmatan Uber ke dan dari tempat pendaratan helikopter.

Ia mengambil masa yang hampir sama jika menggunakan perkhidmatan teksi ketika keadaan trafik sederhana.

Jurucakap Uber berkata, perjalanan tersebut tidak realistik sebagai sebahagian daripada pelancaran komersial, bagaimanapun pilihan penggunaan helikopter hanya ditunjukkan kepada pelanggan yang berada di kawasan Lower Manhattan

“Uber Copter tidak akan kelihatan pada aplikasi jika anda berada di luar kawasan kerana ia tidak menjimatkan masa,” kata jurucakap itu.

Bagaimanapun Uber mungkin mengembangkan tempat pengambil penumpang secara berperingkat, kata Eric Allison, Ketua Elevate, program e-hailing Uber.

“Sudah pasti manaiki helikopter mahal dan ia akan menjadi produk premium tetapi kami berpendapat kami sebenarnya mampu menawarkan Uber Copter pada harga yang munasabah,” kata Allison semasa ditemuramah.

Lapangan terbang JFK merupakan salah sebuah lapangan terbang terbesar di Amerika Syarikat dan perjalanan dengan kereta yang melalui jalan di Manhattan yang sibuk akan mengambil masa antara sejam hingga dua jam, manakala perjalanan dengan menggunakan pengangkutan awam mengambil masa antara 50 hingga 75 minit. – MalaysiaGazette