Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada Majlis Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin memperkenalkan sistem kutipan cukai baharu yang akan mengurangkan beban rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang mengkaji cadangan itu kerana sistem percukaian terhadulu tidak tertib dan tersusun sehingga menyebabkan ramai terlepas membayar cukai.

“Maka ini akan diperkemaskan lagi dan kita akan ada agensi cukai pendapatan umpamanya (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan diperkemaskan lagi.

“Juga kita mungkin terpaksa memperkenalkan cukai cukai yang baharu yang tak membebankan rakyat,” katanya selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pagi ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan akan menilai kebolehan individu atau syarikat terlebih dahulu sebelum menganugerahkan kontrak, lesen dan permit kepada mereka.

“Bukan seperti dulu, untuk beri peluang, beri kontrak, jual kontrak. Beri lesen, jual lesen. Beri  Kelulusan Permit (AP), jual AP dan kekal miskin.

“Sebaliknya kita mahu mereka buktikan kemampuan urus kontrak dan kebolehan dinilai sebelum ditawarkan kontrak, lesen atau AP dan sebagainya.

Menurut Perdana Menteri, jika kerajaan mendapati penerima kontrak menjual atau memindahkannya kepada pihak lain, kontrak tersebut akan terbatal.

Tambah Dr. Mahathir, syarikat swasta juga perlu menawarkan kontrak mengikut kelayakan dan bukan berasaskan kaum.

“Hanya kontrak kerajaan yang tertakluk kepada dasar kemakmuran bersama tetapi sektor swasta tak ikut. Mereka (swasta) tak seharusnya beri kontrak kepada komuniti sendiri sahaja.

“Kami nak lihat orang bangsa lain juga menyertai projek syarikat itu (ikut kelayakan) dan semua yang ada kelayakan perlu diberi peluang tanpa diskriminasi,”ujarnya. – MalaysiaGazette