Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung hari ini rata-ratanya mengusulkan PKR menolak kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – PKR harus memainkan peranan sebagai parti terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk terus menyuarakan tentang tarikh peralihan kuasa perdana menteri kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang pernah menganggotai PKR, Datuk Zaid Ibrahim berkata, parti itu harus bertindak untuk menuntut satu tarikh peralihan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana PKR mempunyai hak untuk berbuat demikian.

“Satu perkara yang perlu dilakukan (PKR) ialah untuk mengesahkan semula pada Mei 2020 sebagai tarikh Anwar menjadi PM.

“Anda mempunyai hak untuk menentukan tarikh pengambilalihan kerana anda adalah parti terbesar. Bertindak seperti itu,” katanya di Twitter.

Beliau turut berkata, parti itu seharusnya mengetengahkan perkara itu dalam mesyuarat yang sedang diadakan hari ini.

Zaid berkata demikian merujuk kepada isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan penggantinya, Anwar Ibrahim.

Anwar semalam berkata beliau yakin akan menjadi perdana menteri seterusnya.

“Saya berpuas hati dengan jaminan berterusan, saya jamin beliau akan menghormati janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar,” katanya.

Malah beliau turut berkata Dr Mahathir konsisten dengan janjinya untuk melepaskan jawatannya dan menghormati konsensus dalam Pakatan Harapan.

“Kami akan membincangkan tarikh kemudiannya,” katanya.

Dr Mahathir pula sebelum ini berkata bahawa masih ada kerja yang perlu dilakukan.

“Kita perlu kaji keadaan, jika kerja tak dibuat atau dibuat separuh, susahlah,” katanya pada Khamis.

Sebelum PRU14, secara jelas PH yang menggabungkan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim segera diangkat sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-8 menggantikan Dr Mahathir setelah mendapat pengampunan diraja. -MalaysiaGazette