Reaksi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media selepas Temu Rapat Bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di The Saujana Hotel, Shah Alam. Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

SUBANG – Kerajaan hanya mempertimbangkan kehendak rakyat sekiranya ada yang berpendapat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu kembali dilaksanakan.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pertimbangan itu tidak bermaksud kerajaan telah bersetuju untuk memansuhkan SST dan melaksanakan semula GST.

“Ada pandangan pihak-pihak tertentu (mengenai GST dilaksanakan semula), dan saya ditanya oleh wartawan apa pandangan saya.

“Apa yang saya katakan jika rakyat mahukannya, ya mungkin kita akan pertimbangkan, tapi pertimbang bukan bermakna kita bersetuju, mungkin kita akan menambah baik SST. Tetapi media melaporkan seolah-olah kita telah bersetuju mansuhkan SST untuk laksanakan semula GST.

“Sudah tentu pembangkang berasa sangat gembira, dan sudah tentu tugas media adalah untuk menggembirakan pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas majlis Temu Rapat bersama ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di sini.

Kalau rakyat percaya GST lebih baik, kita akan kaji – Dr Mahathir

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang cadangan pelaksanaan semula GST berikutan kenyataannya baru-baru ini sebagai respon kepada soalan pihak media.

“Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada lebih baik daripada SST,” ujarnya ringkas mengulas saranan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini.

Kenyataan itu menerima pelbagai reaksi terutamanya dari pihak pembangkang yang mengungkit semula penentangan barisan pemimpin Pakatan Harapan terhadap pelaksanaan GST sebelum menang Pilihan Raya Umum ke-14.  -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

GST: Hormati mandat rakyat, kata Guan Eng