Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kongres Maruah Melayu (KMM) yang berlangsung di Stadium Shah Alam semalam, bukan perhimpunan bersifat rasis, mencerca atau merendahkan kaum lain, sebaliknya untuk mencari jalan menguatkan kesatuan orang Melayu.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, parti itu bersama pimpinan tertinggi telah menghadiri KMM untuk menyatakan sokongan kepada perhimpunan orang Melayu dan mendengar resolusi yang diutarakan penuntut universiti awam demi menguatkan umat Melayu di negara ini.

Kata beliau, DPIM berpuas hati dengan penganjuran kongres itu kerana dapat menyatupadukan seluruh umat Melayu tanpa mengira idealogi politik kepartian.

Dari sudut ini, jelas beliau, KMM menjadi medan kedua setelah penyatuan kerjasama politik antara UMNO dan Pas dua minggu lalu.

Namun begitu, katanya, terdapat pelbagai maksud tersirat di sebalik kongres berkenaan.

“Pertama, Tun Dr. Mahathir (Mohamad) hadir atas kapasitinya sebagai tokoh orang Melayu, bukan sebagai Perdana Menteri. Beliau ada menyatakan kerajaan hari ini tidak kuat kemelayuannya walaupun ditadbir oleh orang Melayu.

“Kita melihat ini adalah kekecewaan beliau sebagai Perdana Menteri yang seperti dihadkan kuasanya kerana Pakatan Harapan (PH) dianggotai empat parti politik sebenarnya didominasi oleh parti yang tidak berpaksikan kaum Melayu.

“Kedua, kongres ini memberikan satu cerminan bahawa orang Melayu akan kuat jika bersatu hati dan Tun Dr. Mahathir dilihat berbesar hati bersama pimpinan UMNO, Pas, Amanah, Ikatan dan sekelompok PKR untuk menunjukkan kesediaan bersama kesatuan parti politik dominan Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Namun ujar Shahir, ketidakhadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diura-urakan menggantikan Tun Dr. Mahathir sebagai perdana menteri memberikan gambaran kesatuan itu boleh bergerak ke hadapan tanpa kelibat Presiden PKR itu.

Ketiga, kata beliau, dari sudut ilmiah, kongres itu menyatakan pelbagai resolusi terutama dari aspek pendidikan dan politik, namun Amanat Tun Dr. Mahathir dilihat lesu tanpa menyentuh resolusi yang telah diangkat kepadanya dengan tiada jaminan khusus kepada seluruh umat Melayu yang hadir.

“Kita menggesa Tun Dr. Mahathir menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri untuk sekurang-kurangnya memperbetulkan keadaan hari ini berpandukan resolusi tersebut.

“Banyak masa dan tenaga telah diperuntukkan untuk menjalankan kajian menyeluruh terhadap isu orang Melayu di tanah air,” katanya.

Perkara keempat, kata Shahir lagi, anak muda yang mewakili universiti awam ke kongres itu agak tersentak apabila Dr. Mahathir menemplak orang Melayu supaya tidak memilih pekerjaan, terutama kerja kasar dan buruh.

Pada masa sama, bantuan RM500 turut dijadikan perbandingan seolah Melayu malas.

“Memang benar kegusaran beliau itu ada baiknya, namun perkara yang dibangkitkan tidak berkait antara satu sama lain.

“Kita melihat gesaan agar orang Melayu tidak memilih kerja buruh tidak kena pada tempatnya kerana kongres tersebut dipenuhi anak muda yang bakal mendapat ijazah graduan univerisiti.

“Malaysia akan mundur jika graduan tidak diberikan ruang pekerjaan yang setaraf dengan pengajiannya. Kerajaan seharusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda, bukan menghentam mereka untuk menjadi buruh kasar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, parti politik yang didominasi orang Melayu seharusnya mengangkat resolusi yang dibentangkan itu, bukan sekadar bermain retorik kehadiran mereka ke kongres untuk menunjukkan kebersamaan.

Ujarnya, resolusi yang dicadangkan cukup kuat untuk mengangkat kembali umat Melayu di tanah air, menjadi umat yang kuat dari sudut politik, ekonomi dan kesejahteraan bersama.

“Walaupun resolusi ini diangkat oleh pihak universiti, mereka tidak mempunyai kuasa politik untuk mengubah keadaan. DPIM mengajak sahabat parti politik UMNO dan Pas untuk sama-sama menyokong dan melaksanakan resolusi tersebut agar menjadi kumpulan utama mengukuhkan kesatuan bangsa Melayu di Malaysia.

“Bagaimanapun, kita mengucapkan tahniah kepada pihak universiti dan penganjur KMM kerana telah menyediakan platform untuk menyatupadukan umat Melayu di bawah satu bumbung.

“Semua pihak digesa untuk bergerak ke hadapan menyelamatkan keadaan hari ini setelah Melayu hilang kuasa pada PRU-14.

“Seperti kata Tun Dr. Mahathir, kerajaan hari ini kurang Melayunya walaupun dipimpin orang Melayu. Mungkin ini perbezaan antara Perdana Menteri ke-4 dan Perdana Menteri ke-7 walaupun orangnya sama,” katanya. – MalaysiaGazette