Pengurus Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das bercakap pada sidang media mengenai sistem baharu pembayaran penghantaran di Hotel VE Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Penghantar makanan Foodpanda yang tidak bersetuju dengan sistem pembayaran baharu tidak dipaksa untuk meneruskan perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das menasihatkan para penghantar supaya mencuba dahulu sistem baharu tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya rasa mereka patut mencuba dahulu sistem pembayaran baharu ini terlebih dahulu.

“Sekiranya mereka mahu kekal, mereka boleh kekal.

“Jika mereka tidak mahu, mungkin mereka boleh meneroka peluang pekerjaan yang lain,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Menurut Sayantan, sistem baharu yang berkuatkuasa pada 30 September lalu bagi penghantar luar Lembah Kelang sebenarnya memberi peluang kepada penghantar untuk memperolehi pendapatan sehingga 50 peratus lebih tinggi berbanding sistem lama.

“Berbeza dengan apa yang dilaporkan, sistem pembayaran baharu sebenarnya memberi peluang kepada penghantar untuk mendapat pendapatan sehingga 50 peratus lebih banyak berbanding sistem sebelumnya.

“Manakala bagi penghantar yang berprestasi rendah, skim ini mungkin akan memberikan motivasi kepada mereka.

“Ini kerana di bawah skim baharu, kadar mengikut jam telah dihapuskan namun begitu pembayaran mengikut tempahan dinaikkan.

“Skim ini turut digunakan di negara-negara lain juga,” katanya lagi.

Jelas Sayantan, sebelum ini seorang penghantar mendapat bayaran RM5 bagi setiap tempahan bagaimanapun mengikut skim baharu, bayaran dinaikkan kepada RM7.

Para penghantar juga akan diberi insentif sebanyak RM150 apabila berjaya menghabiskan waktu bekerja selama 40 jam seminggu di samping bayaran tambahan RM1 bagi setiap tempahan yang dihantar bagi tempoh 11 malam sehingga 9 pagi setiap hari.

Menurut Sayantan, Foodpanda Malaysia tidak berhasrat untuk menghentikan sistem pembayaran baharu tersebut kerana ianya baru sahaja dilaksanakan.

Namun, mereka akan membuat penilaian semula dalam tempoh empat minggu lagi bagi melihat kesesuaian sistem tersebut.

Ketika ditanya mengenai impak terhadap mogok yang dijalankan oleh kira-kira 100 penghantar Foodpanda di Johor Baru, baru-baru ini, Sayatan berkata, kesannya tidak ketara.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sistem pembayaran lama masih dikekalkan di Lembah Kelang kerana pasaran di kawasan ini sudah tepu dengan persaingan.

Maka, sistem pembayaran baharu tidak akan memberi manfaat kepada para penghantar. – MalaysiaGazette