Tan Sri Isa samad

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bertindak melangkaui mandat pelaburan ditetapkan Felda dalam pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak berjumlah RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) iaitu anak syarikat Felda.

Bekas Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan FICSB, Siti Salwani Mohd Salleh, 41, berkata beliau mengetahui perkara tersebut selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa direkodkan keterangan sebanyak dua hingga tiga kali berhubung pembelian hotel itu.

“Mandat ini menetapkan projek melebihi RM100 juta dikendalikan FICSB, perlu mendapatkan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

“Sekiranya mandat ini tidak dipatuhi, Ahli Lembaga Pengarah FICSB dikatakan membuat pelaburan tidak memenuhi syarat mandat ditetapkan,” kata saksi pendakwaan kedua itu semasa menjawab soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan hari pertama kes Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Siti Salwani yang kini bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Felda turut memberitahu mahkamah bahawa pembelian MPSH tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda dan melanggar mandat yang diberikan.

“Bagaimanapun pembelian MPHS masih sah berdasarkan perjanjian jual beli antara Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd dengan FICSB…Ahli Lembaga Pengarah bertanggungjawab dalam menyediakan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan pembelian.

“Namun, tidak ada kertas kerja disediakan Ahli Lembaga Pengarah FICSB kepada Felda lanjutan perkara ini,” katanya yang menambah FICSB menjalankan perniagaan berkaitan pelaburan hartanah.

Terdahulu saksi pendakwaan pertama, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata beliau telah menerima permohonan daripada SPRM untuk membuat carian rekod dan dokumen berkaitan FICSB dan dua syarikat lagi iaitu Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd dan JV Evolution Sdn Bhd.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

— BERNAMA