Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memuji cara berbahas dan pengisian lima kluster dalam Kongres Maruah Melayu (KMM) pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, semua yang disuarakan dan dimasukkan dalam resolusi KMM itu telah disuarakan oleh NGO itu pada forum, wacana dan konvensyen yang dianjurkan sejak 2008 lagi.

Kata beliau, sesiapa sahaja boleh merujuk semua resolusi Perkasa dalam isu Tanah Rezab Melayu, biasiswa, Akta Hasutan, ISA, Islam, Ekonomi (Perumahan), Ekonomi (pembahagian Kek Ekonomi dan Pekerjaan).

“Perkasa juga membangkitkan isu penting seperti pendidikan, sijil UEC, Raja-Raja Melayu, perpaduan, rasuah dan lain-lain lagi.

“Semua resolusi itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ahli Parlimen beragama Islam, ketua-ketua setiausaha kementerian, Raja-Raja Melayu, bahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu mantan perdana menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pada himpunan KMM di Stadium Tertutup Shah Alam Ahad lalu, sebanyak lima kluster melibatkan ekonomi, pendidikan, agama, budaya dan politik membentangkan resolusi masing-masing.

Menurut Syed Hasan, pejabat Perkasa sejak ditubuhkan 11 tahun lalu tidak pernah diam kerana saban masa menganjurkan wacana, forum mahupun konvensyen dan memastikan resolusi yang dicapai dihantar kepada pihak berkenaan.

Katanya, beratus ringgit NGO itu berbelanjakan kos penghantaran resolusi berkenaan kepada pihak yang dianggap penting untuk mengetahui tuntutan Perkasa.

“Apakah pembentangan resolusi dalam KMM kelmarin terlalu hebat berbanding apa yang telah Perkasa buat dan keluarkan? Tidak intelektualkah pimpinan Perkasa?

“Malah, hampir semua perkara penting itu telah dimasyhurkan dalam 10 Tuntutan Melayu yang diperjuangkan pula oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada hari pelancaran Sabtu minggu lalu. – MalaysiaGazette