KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sepatutnya menukar pendirian sesuka hati.

Itu pendapat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy mengenai kehadiran Perdana Menteri dalam Kongres Maruah Melayu baru-baru ini.

“Sebagai seorang Perdana Menteri bagi semua rakyat Malaysia, Mahatir seharusnya mempunyai pendirian yang tegas dalam keputusannya untuk tidak menghadiri kongres tersebut dan berkongsi platform dengan individu-individu seperti Hadi dan pihak yang lain yang merupakan musuh politiknya.

“Tetapi dengan menolak pandangan orang lain, beliau mempertahankan keputusannya dengan mengatakan bahawa beliau sebagai seorang berbangsa Melayu yang mempunyai hak untuk menyertai kongres tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramasamy, kongres yang sama juga akan menjejaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030) atau manifesto PH.

“Visi yang mantap bagi pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ataupun Manifesto PH tidak akan membawa sebarang makna sekiranya keadaan politik adalah tertumpu kepada esktremisme perkauman dan agama,” katanya.

Kongres itu, katanya, seolah-olah pakatan politik yang dianjurkan di bawah Perpaduan Ummah oleh UMNO dan Pas tidak cukup merunsingkan, baru-baru ini Kongres Maruah Melayu secara dasarnya mengesahkan bahawa bangsa dan agama menjadi keasyikan orang Melayu atau sekurang-kurangnya golongan elit Melayu.

“Sekiranya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin PH tidak turut serta, kongres ini mungkin boleh dikatakan sebagai satu lagi percubaan bagi menyebarkan sikap perkauman; satu senario yang biasa berlaku di mana para pemimpin Melayu menyalahkan orang bukan Melayu bagi ketinggalan orang Melayu dalam pembangunan sedangkan pemimpin-pemimpin ini sendiri yang gagal untuk memimpin orang Melayu ke arah kemajuan,” katanya.

Menurut beliau, keadaan bertambah lagi rumit dengan kehadiran Mahathir bersama-sama pemimpin Melayu yang lain seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan segelintir pemimpin UMNO di kongres yang sama.

Sementara itu, resolusi-resolusi pada kongres yang sama bersifat perkauman dan sangat melampau.

“Resolusi-resolusi ini menyeru agar jawatan perkhidmatan awam dan kerajaan berpangkat tertinggi hanya dikhaskan untuk orang Melayu, pemantapan sistem sekolah kebangsaan melalui pemansuhan sekolah-sekolah vernacular Cina dan Tamil, langkah agresif bagi pengenalan pelajaran Jawi dan khat di sekolah dan halangan kepada penglibatan badan bukan Melayu dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam.

“Oleh kerana Mahathir menghadiri dan memberi ucapan di kongres,telah timbulnya harapan daripada segelintir pihak bahawa PH mungkin akan melaksanakan beberapa resolusi di atas,” kata Ramasamy.

Bagaimanapun, Mahathir mendakwa kerajaan tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan keputusan berkenaan.

“Sama ada akan diperakui atau tidak, terdapat agenda yang bersifat melampau akibat daripada resolusi ini, tetapi tidak pasti siapakah kumpulan di sebalik perkara ini.

“Adalah harus dikesali bahawa PH yang mempunyai begitu banyak potensi untuk merealisasikan visi baru telah dipengaruhi oleh isu perkauman yang menuju ke arah kemusnahan,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kepada pimpinan Kongres Maruah Melayu, syabas saya ucapkan kerana mengembeling usaha penyatuan dan menebus maruah melayu yang semakin di cabar dari isu agama Islam, perlembagaan negara, kedaulatan raja-raja melayu, penjualan asset-asset pegangan melayu hinggakan keadilan perlaksanaan undang-undang melibatkan kematian Adib pun sengaja di lengah dan campur tangan menjangkaui asas perundangan.
    Teruskan perjuangan pimpinan ini, satukan semangat melayu/Islam keseluruhan dengan kental hingga tercapai demi agama, bangsa dan masa depan anak cucu kita kelak.

Comments are closed.