Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas sentiasa konsisten dengan dasar pengukuhan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera yang kian ketinggalan, kata Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad.

Justeru, katanya, parti itu menyambut baik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu lalu.

Kata beliau, WKB 2020 itu akan bermula seiring dengan Belanjawan Kemakmuran Bersama 2020 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, sekali gus menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

Terkini, menurutnya, ekuiti korporat Bumiputera dilaporkan pada tahap 16.2 peratus berbanding 23.4 peratus pada 2011, iaitu jauh lebih rendah daripada ekuiti bukan Bumiputera, 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing yang meningkat kepada 45.3 peratus seperti dinyatakan dalam intipati ringkasan WKB 2030.

Kata Kamaruzaman, jurang pendapatan antara T20 dengan B40 juga meningkat dengan agak ketara iaitu RM10,148 pada 2016.

“Angka ini dengan jelas menunjukkan jurang perbezaan yang besar di kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera serta ketidaksamaan ketara antara wilayah Lembah Klang dan negeri lain.

“Walaupun secara dasarnya wawasan ini dirangka untuk menangani permasalahan tersebut bagi jangka masa 2021 hingga 2030, Pas masih memberikan harapan supaya Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu sedia ada terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau memberi contoh, masih berbangkit isu royalti petroleum Kelantan dan Terengganu.

“Terengganu contohnya, walaupun wang royalti petroleum telah dibayar, namun dikenakan potongan 25 peratus untuk membayar hutang Kerajaan Persekutuan walaupun mempunyai hutang dengan Terengganu.

“Isu royalti Kelantan juga belum selesai hingga ke hari ini. Ini adalah contoh yang berlaku di negeri yang majoritinya Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Menurut Kamaruzaman, rakyat bukan sahaja mahu melihat kepada kesempurnaan dasar yang dirangka, tetapi konsistensi terhadap pelaksanaan dasar tersebut bermula sekarang dan menyelesaikan permasalahan berbangkit. Ini termasuklah pelaksanaan manifesto yang telah dijanjikan.

“Pas akan terus memberi pandangan dari semasa ke semasa terhadap perancangan dan pelaksanaan WKB 2030.

“Ini selaras dengan pendirian Pas untuk memastikan masyarakat Bumiputera termasuk orang Melayu, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak lebih kompetetif dan berdaya maju,” katanya. – MalaysiaGazette