A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Pelantikan muka-muka baru mengetuai jabatan pengarang media berkaitan UMNO dan campur tangan kerajaan yang melampau dalam pemberitaan punca kemerosotan jualan akhbar Utusan Malaysia sehingga terpaksa ditutup operasinya hari ini, kata tokoh wartawan A. Kadir Jasin.

Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times mengaitkan rumusannya itu dengan  “fourth floor boys” (budak-budak tingkat empat) di Pejabat Perdana Menteri pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menurutnya terpaksa dipersalahkan.

“Mereka inilah yang berkuasa ke atas media massa berkaitan UMNO, khasnya dan media massa arus perdana, amnya.

“Campur tangan mereka yang berlebihan dan tidak profesional menyebabkan pembaca menghidu bahawa akhbar, televisyen dan radio milik syarikat-syarikat berkaitan UMNO tidak lagi berkecuali dan kurang kredibiliti,” katanya dalam catatan di laman blognya.

Menulis lanjut, Kadir berkata, salah satu kesilapan paling besar mereka adalah menggunakan media massa untuk mematikan legasi Tun Dr Mahathir Mohamad dan menonjolkan Abdullah.

“Itulah permulaan kepada kemerosotan mutu kewartawanan dan kemerosotan penjualan akhbar Kumpulan Utusan dan NSTP.

“Hal ini diburukkan lagi oleh perkembangan pesat teknologi digital dan kegagalan sistem pendidikan nasional mengekalkan minat membaca di kalangan pelajar,” katanya.

Kadir mengimbau pengalamannya membesar dengan hidangan minda Utusan Melayu kerana itulah akhbar langganan tetap Almarhum bapanya yang juga sesekali membeli Warta Negara (juga jawi) terbitan Pulau Pinang.

Kadir juga membeli New Sunday Times setiap Ahad.

“Utusan Melayu akhirnya terkubur (pada tahun 2006) kerana orang Melayu generasi baru tidak lagi tahu membaca dan menulis jawi.

“Itulah antara kegagalan besar sistem pendidikan kita. Jadi sebab itulah saya tidak berapa berselera cakap kosong mengenai maruah Melayu atau tulisan khat. Macam kata P. Ramlee, masuk angin keluar asap,” katanya.

Beliau berkata, jika “budak-budak tingkat empat” era Abdullah memulakan proses penghapusan profesionalisme kewartawanan media berkaitan UMNO, “budak-budak tingkat empat” zaman Najib lagi teruk.

Dengan bantuan “perunding” dari dalam dan luar negara yang diwakili oleh nama-nama seperti Habibul Rahman Kadir dan Paul Stadlen, mereka melakukan proses pugar dan bakar (slash and burn) ke atas media arus perdana.

Kesudahannya, akhbar utama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times serta stesen televisyen TV3 ditolak oleh pembaca dan penonton.

Ironinya, semua akhbar ini dan kumpulan yang menerbitkannya “dimalaysianisasikan” (Malaysianised) pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, pelopor pemikiran dan maruah Melayu.

“Kini semuanya bernyawa ikan akibat kebebalan anaknya, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib, bekas Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast