KUALA LUMPUR – Tidak puas hati dengan bayaran komisen dipercayai punca lelaki dibunuh kemudian mayatnya disembunyi di but sebuah kereta di Telok Panglima Garang, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi, dua suspek warga asing yang ditahan sebelum ini dipercayai suspek pembunuhan tersebut.
“Siasatan dijalankan mendapati lelaki warga asing itu dibunuh berkaitan perebutan pekerja ladang, selain tidak puas hati bayaran komisen.
“Kedua-dua suspek yang ditahan turut dipercayai berpakat bersama untuk membunuh mangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini dilaporkan, mayat kes bunuh itu ditemui semasa polis melakukan rondaan pencegaah jenayah.
Ketika kejadian pada jam 5.08 pagi, anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat yang melakukan rondaan menahan kereta yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Setelah pemeriksaan, anggota polis menemukan satu mayat lelaki disyaki warga asing di dalam but kereta dengan kesan kecederaan di badan.
Sehubungan itu, dua suspek lelaki masing-masing berusia 17 dan 22 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan kedua-dua lelaki itu bekerja sebagai peladang.-MalaysiaGazette