Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US pada hari ketiga berturut-turut hari ini berikutan sentimen suram di tengah-tengah yuan yang semakin lemah, kata seorang peniaga.

Pakar strategi pasaran Axi Trader Asia-Pasifik Stephen Innes berkata, yuan yang semakin lemah disebabkan oleh perang perdagangan yang negatif telah melemahkan ringgit, yang kini berada dalam jajaran paras kritikal 4.20.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.1950/1980 berbanding dolar US daripada 4.1920/1950 semasa ditutup pada Selasa.

“Tumpuan antarabangsa secara keseluruhannya kekal terhadap perbincangan perdagangan, dan jika ia berakhir dengan perbalahan, yuan akan terus lemah ke paras 4.20, yang sudah memadai untuk menarik mata wang tempatan ke paras 4.21-22 berbanding dolar US,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes berkata Belanjawan 2020 akan mendorong untuk mengekalkan minat pelabur.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0355/0381 daripada 3.0381/0407 tetapi menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.9169/9008 daripada 3.9148/9187.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1246/1287 daripada 5.1327/1380 dan naik berbanding euro kepada 4.5960/6010 daripada 4.6058/6107. – MalaysiaGazette